rap

'Kenapa kau pergi dulu Bam?'

Oleh Norhayati Nordin

DUA anggota kumpulan Bocey iaitu Achey dan Fad tak terkata dan hanya melinangkan air mata apabila berkongsi berita kematian sahabat mereka, Abam di Instagram masing-masing pagi hari ini.

Dalam perkongsian video berdurasi 23 saat itu, Achey menangis dengan suaranya tersekat- sekat dan menutup muka.

“Guys (anda semua), Abam dah tak ada,” katanya ringkas.

Achey turut menulis kapsyen, kenapa awal sangat Bam? Mana janji kau? Ya Allah.

Sementara itu, Fad pula dalam video berdurasi 21 saat berkongsi dia mendoakan Abam yang pulang ke Rahmatullah.

Tulis Fad, Allahhuakbar Allahhuakbar Allahhuakbar.. Innalillahhiwaiinailaihirojiun..kenapa kau pergi dulu Bam.

“Kenapa tak tunggu aku? Aku jauh ni. Aku nak peluk cium kau,” katanya.

Difahamkan, Fad kini berada di Tokyo, Jepun kerana bercuti bersama keluarganya.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan,

dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Gombak kira-kira jam 8.30 pagi hari ini.

Berita mengejutkan itu dimaklumkan adiknya, Ali Puteh selepas dihubungi isteri Abam memberitahu suaminya tidak sedarkan diri.

Menurut isteri Abam, Nor Hidayah, Allahyarham demam sejak dua hari lalu dan mengadu sakit kepala.

Abam yang kurang sihat, bagaimanapun enggan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Allahyarham dan Nor Hidayah berkahwin pada 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey kini berusia lima bulan.

Berita berkaitan

Abam Bocey meninggal dunia

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 11:05am
d