rap

Brain Dead bangkit semula

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

AGAK lama juga menyepikan diri selepas menghasilkan album sulung berjudul From the Ecstacy, kumpulan heavy metal dari Taiping, Perak kini aktif semula dalam industri hiburan tempatan.

Selepas 27 tahun, kumpulan yang dianggotai oleh Ein Possessor (gitar, penyanyi), Malik Mutilation (gitar), Hashim Pestilence (bass) dan Azlan (dram) kini tampil dengan album kedua berjudul To The Infamy.

Ibarat bangkit dari lena yang panjang, kumpulan yang berpaksikan muzik berat ini berhasrat mahu memenangi hati peminat semula seperti dulu.

Apatah lagi, mereka sudah mencipta pengaruh muzik sendiri serta sudah lama bertapak di arena muzik underground.

“Album ini adalah hadiah buat peminat muzik berat Malaysia selepas sekian lama kami tak menghasilkan produk terbaru. Ia membuktikan Brain Dead yang ditubuhkan pada 1988 terus bernadi sehingga kini dan lebih membanggakan masih kekal dengan anggota asal,” kata Ein.

Menurutnya, menerusi album pertama yang dihasilkan pada 1992 di bawah Dark Journey Records, lagu-lagu mereka iaitu Eternal War, The 7th Winds dan Spirits of Heloisa diterima baik pendengar.

“Ia menjadi sebahagian daripada proses pembesaran peminat muzik bawah tanah dari dulu hingga kini. Untuk kali ini, muziknya lebih santai berbanding album pertama.

Apa yang kami tekankan ialah susunan melodi serta lirik yang diperkemaskan lagi sesuai dengan usia kami yang rata-ratanya sudah menginjak 50-an,” katanya.

Selain Brain Dead, ada di antara anggota kumpulan ini juga turut membarisi kumpulan lain seperti Sil Khannaz dan Infectious Maggots.

“Tapi ia bukanlah alasan untuk mereka mengabaikan Brain Dead. Yang pasti, album kedua ini menampakkan kematangan setiap kami untuk merealisasikan sokongan peminat yang tidak bernoktah.

“The 7th Winds, Spirits of Heloisa juga turut dirakamkan semula agar tampak lebih bertenaga, namun masih mengekalkan identitinya seperti pada era 90-an.

Penghasilan album ini sebenarnya bertujuan menjawab pertanyaan peminat yang selalu bertanya produk terbaru Brain Dead,” katanya.

Album To The Infamy dihasilkan menerusi gandingan kerjasama erat di antara Brain Dead dengan Rockstage Entertainment.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 8:00am
d