rap

AC Mizal bakal tampil stesen TV sendiri [METROTV]

Oleh Najiy Jefri

PENGACARA popular Datuk AC Mizal enggan namanya dikaitkan dengan stesen televisyen yang pernah dirancangnya sebelum ini iaitu Awesome TV.

AC berkata, dia dan isteri, Datin Emylia Rosnaida mengumumkan tidak mahu terbabit dengan stesen televisyen berkenaan dan sedang dalam perancangan menubuhkan stesen televisyen milik mereka sendiri tidak lama lagi.

“Sebagai pemilik lesen penyiaran, kami berhak menentukan dengan siapa kami ingin bekerjasama. Kami tidak boleh menghalang Awesome TV meneruskan rancangan menubuhkan stesen itu. Sebelum ini, kami memilih tidak mendedahkan perkara ini sebagai menghormati keputusan Awesome TV yang masih ingin meneruskan hasrat mereka.

“Memandangkan ramai yang masih keliru mengenai status itu, jadi saya ingin menjelaskan tidak lagi menjadi rakan kongsi dalam Awesome TV. Fokus kami kepada stesen baru yang dijangka memulakan operasi tahun ini,” katanya.

Menurut AC, dia memerlukan sekurang-kurangnya RM500 juta untuk membangunkan stesen televisyen itu yang berkemungkinan dikenali sebagai AC TV.

“Mengikut perancangan, kami ingin memperkenalkan lima saluran tetapi kos satu saluran pun amat tinggi. Jadi, kami akan usahakan satu persatu.

“Saya ingin menjadikannya sebagai hub untuk golongan artis dan media berkampung. Kita memerlukan seramai 150 tenaga kerja, jadi ia perlu digerakkan mengikut perancangan betul,” katanya.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 7:27pm
d