rap

Haikal angkat isu sejagat

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Langkah sebagai anak seni bukanlah sesuatu yang mudah dan indah. Setiap langkah tentunya diiringi dengan ujian dan dugaan.

Bagi penyanyi baru, Haikal Azman, kehadiran single ketiganya juga tidak kurang hebat apabila diduga dan dikaitkan dengan gerakan Freemason dan Illuminati.

Namun, baginya itu semua adalah ujian yang menguatkan lagi gerak langkahnya untuk terus memperjuangkan muzik yang dibawakan.

“Ketika lagu baru saya, Ingat dilancarkan di YouTube pada Disember lalu, ramai yang salah faham dan beranggapan bahawa saya menyalurkan mesej mengenai Freemason dan Illuminati dalam lagu itu.

“Sebenarnya, kalau diamati liriknya, saya ada bercakap mengenai gerakan itu tetapi cuma untuk membuka mata pendengar mengenai kerja-kerja kotor mereka,” katanya.

Menurut penyanyi berusia 22 tahun ini, rata-rata warganet yang meninggalkan komen negatif adalah dari Indonesia.

“Kebanyakan mereka yang menulis komen dan mendakwa saya mengikut gerakan itu adalah dari Indonesia. Saya juga ingin mengingatkan pendengar supaya kita sedar bahawa kita sudah berada di akhir zaman,” katanya.

Bercerita mengenai lagu baru itu, anak kelahiran Pulau Pinang itu berkata, ia berkisar mengenai keamanan.

“Sebelum ini, saya pernah keluarkan dua single berjudul Kenangan Cinta dan Ku Cari Bayang Semalam. Kedua-duanya bergenre balada yang memang ‘tangkap leleh’.

“Untuk single ketiga ini, saya bereksperimen dengan muzik dan komposer Rudy Nastia dan Ku Yen hasilkan lagu yang lebih rancak.

“Secara ringkasnya, Ingat berkisar mengenai kisah keamanan sejagat, peperangan dan ketenteraman dunia. Isu-isu ini yang melanda dunia hari ini dan diangkat ke dalam bentuk lagu,” katanya.

Menurutnya, dia ingin menampilkan kelainan kerana sudah banyak lagu cinta yang ada dalam senarai muzik arus perdana.

“Inilah kelainan yang ingin saya tampilkan. Kalau artis lain banyak keluarkan lagu cinta, saya nak angkat lagu yang bercerita mengenai kisah sejagat,” katanya.

Tidak hanya menyanyi, Haikal juga berbakat besar sebagai komposer.

“Setakat ini, dalam koleksi saya sudah ada kira-kira 30 hingga 40 lagu yang saya hasilkan sendiri. Bukan hanya lagu, semuanya sudah lengkap dengan lirik.

“Ada juga artis yang membeli lagu yang saya hasilkan. Insya-Allah, saya ada juga menyimpan impian untuk hasilkan lagu untuk penyanyi besar,” katanya.

Menyimpan impian untuk berduet dengan Siti Nordiana, Haikal berharap kehadirannya mendapat sokongan peminat.

“Kalau tanya saya nak berduet dengan artis mana, saya teringin nak berduet dengan Siti Nordiana memandangkan saya membesar dengan lagu-lagunya.

“Harapan saya semoga karya dan kehadiran saya diterima baik dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 6:30am
d