rap

'Aturan Tuhan itu cantik'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI popular, Hafiz Suip melakar sejarah tersendiri pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) lalu apabila memenangi dua kategori khas iaitu Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik menerusi lagu Kisah Cinta Kita.

Pencapaian itu sekali gus menjadikan Hafiz satu-satunya penyanyi yang memenangi kategori Vokal Terbaik sebanyak empat kali selepas diperkenalkan pada AJL17.

Melihatkan perjalanan lagu itu, Hafiz tidak menunggu lama untuk tampil dengan single terbaharu, Sinar Cinta.

Sekali lagi, Hafiz bekerjasama dengan komposer, Ikhwan Fatanna, Ayden Ali dan John Jeevasingham.

Malah, tiga komposer itu turut berkongsi idea dengan penulis lirik yang juga penerbit drama, D Hasniza dan Arisz Ab Rahman.

Sama seperti Kisah Cinta Kita, lagu terbaru ini menjadi pilihan produksi Saphire Screen sebagai lagu tema drama Seindah Tujuh Warna Pelangi yang dibintangi pelakon, Aeril Zafrel, Nabila Razali dan Hun Haqeem akan mula bersiaran di slot Akasia di TV3 24 Februari ini.

“Saya berharap lagu Sinar Cinta dapat terus menjadi kesinambungan terhadap penerimaan lagu nyanyian saya terutama yang berentak balada. Cuma pastinya setiap naskhah itu mempunyai penceritaan berbeza termasuk untuk single terbaharu ini. Proses rakaman dibuat sebelum saya sibuk dengan persiapan AJL34 iaitu pada awal tahun ini. Ia dirakamkan di studio milik komposer Omar K.

“Mengikut persepsi dan pemahaman saya, lagu ini mengisahkan mengenai kehadiran cinta yang sempurna. Malah, kita tahu cinta itu sangat penting dalam kehidupan seharian kita. Itu juga yang cuba disampaikan komposer lagu ini yang mahu meyakinkan kita betapa peri pentingnya elemen cinta itu yang bersifat universal.

“Proses rakaman juga mudah kerana antara komposer yang terbabit seperti Ikhwan dan Ayden kami sudah biasa bekerjasama,” katanya.

Menurut Hafiz, sebagai penyanyi dia cuba menzahirkan emosi lagu yang dirakamkan sebaik mungkin mengikut terjemahan rasanya.

“Walaupun kerap menyanyikan lagu balada yang dianggap ramai sebagai ‘forte’ atau makanan saya, setiap lagu itu memberikan cabaran tersendiri. Dalam hidup ini pun kita sendiri sudah terbiasa bermain dengan emosi. Saya cuba gunakan apa yang dirasai untuk meresapi ‘roh’ bagi lagu ini.

“Paling tepat, saya cuba menzahirkan emosi cinta itu terhadap isteri dan keluarga yang saya sayangi menerusi lagu ini. Cinta saya terhadap mereka lahir tanpa syarat dan di tahap infiniti. Semoga sinar cinta yang mekar sejak sekian lama itu akan terus kekal sampai ke syurga,” katanya.

Sementara itu, kejayaannya di AJL34 disifatkan penyanyi ini sebagai rezeki anak apabila isterinya dijangka melahirkan anak kedua mereka pada pertengahan Mac depan.

“Saya anggap kejayaan yang dimiliki di AJL baru-baru ini sebagai rezeki anak selain usaha yang disalurkan dalam memastikan penonton terhibur sekali gus dapat merasai apa disampaikan. Cuma saya percaya kalah dan menang itu adat pertandingan. Saya sudah tanamkan hal itu dalam diri. Niat saya datang buat persembahan di AJL34 itu untuk menghibur.

“Kalau kita tekankan rasa nak bertanding, timbul pula perasaan nak bersaing. Apa yang utama juga ia jadi tanggungjawab saya sebagai perantara menterjemahkan naskhah daripada komposer. Apatah lagi, AJL sendiri mengangkat kredibiliti dan kebolehan mereka yang hebat dalam seni penciptaan lagu,” katanya.

Pemenang anugerah Penyanyi Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama tiga tahun berturut-turut sejak edisi ke-24 ini juga sebenarnya teruja menantikan kehadiran cahaya mata keduanya.

“Saya percaya aturan Tuhan itu cantik. Saya menang dua kategori anugerah di AJL34 selain dapat mencipta rekod empat kali menang trofi Vokal Terbaik menerusi pertandingan itu, lagu Sinar Cinta pula menyusul.

“Lepas ini, anak kedua saya pula akan menemui kami. Semoga segala-galanya akan dipermudahkan. Moga tuah dan rezeki yang diraih akan terus konsisten serta menyebelahi saya. Cuma sekarang jantina anak kedua itu biarlah rahsia dulu dan kekal sebagai kejutan. Nanti sudah lahir saya akan maklumkan,” katanya.

Single Sinar Cinta Hafiz adalah terbitan Nova Music (M) Sdn Bhd sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KK Box dan Deezer sejak semalam.

Video lirik rasmi lagu itu juga boleh mula ditonton di saluran YouTube Nova Music Videos.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 6:32am
d