rap

'Buku baru' Isma AF7

Oleh Najiy Jefri

"Saya mahu tutup buku lama, buka buka buku baru," kata penyanyi kelahiran Akademi Fantasia 7, Isma, 39, yang enggan mengenang kisah lalunya apabila memilih untuk kembali mendirikan rumah tangga selepas hampir dua tahun bergelar ibu tunggal.

Isma yang menamatkan zaman jandanya dengan jejaka dikenali Mohd Dzaki, 35, pada penghujung tahun lalu menyifatkan jodoh yang hadir sebagai ketentuan takdir.

"Semua yang berlaku ini adalah aturan Allah SWT. Saya menerima ketentuan ini dengan hati terbuka. Saya mahu terus memandang ke hadapan dan enggan ungkit kisah lama.

"Selama ini saya tak pernah menutup pintu hati untuk kembali berjodoh kerana semuanya saya serahkan kepada ketentuan takdir. Siapalah saya mahu menafikan apa yang sudah tertulis.

"Alhamdulillah perkahwinan kali kedua ini berjalan dengan baik dan bahagia," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran busana jenama Munawwareen 2020 di Jalan Tengah, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Isma, dia memohon maaf kerana tidak dapat bercerita lanjut mengenai perkahwinan keduanya kerana menuruti permintaan suami.

"Cukup orang sekadar tahu saya sudah berkahwin. Saya menuruti permintaan suami, dia lebih selesa untuk tidak ke depan dan hanya di belakang tabir saja.

"Dia seorang yang merendah diri. Malah begitu juga dengan keluarganya. Apa yang dikongsikan di media sosial sebelum ini, hanya itulah yang mampu saya jelaskan.

"Alhamdulillah anak-anak saya juga merestui perkahwinan kami. Mereka terima dan tiada masalah dengan bapa baru mereka," katanya.

Ditanya mengenai soal zuriat, Isma enggan meletakkan harapan tinggi sebaliknya menyerahkan kepada rezeki dan ketentuan Ilahi.

Isma dan Dzaki dinikahkan pada 21 Disember tahun lalu di Menara Seri Dewan Wilayah, Putrajaya.

Menerusi perkongsian hidup Isma dengan komposer dan penyanyi Zul 2By2 yang terlerai dua tahun lalu, mereka dikurniakan lima cahaya mata iaitu Muhammad Haiqal Aiman, 21, Muhammad Haiqal Aydiel, 20, Seri Aida Merlissa, 18, Seri Ayreen Merlynda, 16, dan Seri Adryana Mercella, 12.

Selain Isma, majlis pelancaran Munawwareen 2020 yang menampilkan rekaan fesyen berkualiti dan busana muslimah turut dihadiri ramai selebriti seperti Rohana Jalil, Syafie Naswip, Raja Afiq, Salwa Abd Rahman, Ayu Damit dan ramai lagi.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 3:05pm
d