rap

'Kami tak meratap, tapi rindu' - Fad Bocey

Oleh Najiy Jefri

PELAWAK Fad Bocey, 29, menafikan dia dan sahabatnya, Achey merintih atau meratap dengan kematian Abam secara mengejutkan pada Isnin lalu akibat demam panas.

Fad menerusi jawapan balas yang diberikan di Instagram berkata, dia tidak pernah memaksa mana-mana pihak untuk berkongsi sebarang entri yang dimuat naiknya.

" Kami bukan merintih atau meratap, malah tak paksa blog atau mana-mana media untuk memuat naik sebarang entri mengenai apa yang kami kongsikan.

"Kalau mereka kongsi bermakna mereka turut merindui akan kenangan dengan arwah. Kami kongsi kenangan dengan arwah pun sebab kami rindu.

"Kalau tak suka boleh sekat atau 'unfollow' kami. Lagi elok daripada dapat dosa sia-sia. Saya tiada niat marah atau benci. Semoga anda semua sentiasa dirahmati Allah,' tulisnya di ruangan komen Instagram Pencetus Ummah (PU) Azman, semalam.

PU Azman sebelum ini tampil menjelaskan mengenai salah faham yang perlu diperbaiki mengenai perkongsian gambar arwah yang ada kalanya menjadi pertikaian sesetengah pihak.

Tampil memberikan pencerahan, PU Azman berkata, perbuatan orang yang masih hidup tidak akan memberi kesan kepada individu sudah meninggal dunia.

"Ada budaya di kalangan masyarakat berbunyi, jangan post (muat naik) mengenai arwah banyak sangat, nanti arwah tak tenang di sana. Kenyataan di atas tidak betul sama sekali.

"Perbuatan orang hidup tidak bagi kesan langsung kepada orang mati dalam hal ini. Tiada masalah menceritakan kebaikan orang mati sebagai pengajaran dan semangat kepada yang hidup.

"Tiada masalah post foto kenangan yang sopan, tutup aurat sebagai melepas rindu. Hal ini tidak bermakna yang muat naik itu tidak reda.

"Reda atau tak, itu perbuatan hati. Kita orang luar tak boleh nak nilai. Bahkan jika yang hidup melakukan perbuatan yang dilarang iaitu meratap (melampau), juga tidak bagi kesan kepada si mati. Bahkan si pelaku yang masih hidup itu saja yang mendapat kesan dosa atau tidak," tulisnya.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 3:51pm
d