rap

Enam tahun sepi, Puteri Sarah kembali berlakon [METROTV]

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PELAKON Puteri Sarah Liyana yang kini kembali berlakon selepas enam tahun meninggalkan bidang itu mengakui, suaminya yang juga pelakon dan pengarah Syamsul Yusof meletakkan syarat tertentu sebelum memberi izin.

Sarah bagaimanapun tidak menganggap itu sebagai bebanan kerana dia juga tahu status dan batasnya sebagai isteri.

"Saya dah kembali berlakon sejak Oktober tahun lalu. Setiap kali terima tawaran, saya akan tapis terlebih dahulu mengikut kesesuaian dan meminta pendapat suami.

"Dia meletakkan beberapa syarat kepada saya antaranya, tidak boleh ada babak bersentuhan dengan pelakon lelaki dan supaya saya sentiasa menjaga batasan sebagai isteri," katanya kepada Harian Metro.

Sarah ketika ditemui di majlis pelancaran produk terbarunya, Shara Skincare berkata, suami tidak pernah menghalangnya berlakon.

"Dia tak pernah halang pun. Saya sendiri yang pilih untuk berhenti seketika memandangkan sudah berumah tangga dan ada anak.

"Saya sendiri pun sebelum ini ketika menjalani penggambaran telefilem Wasiat Untuk Halina pada tahun lalu, sentiasa berulang alik dari set penggambaran di Tanjung Karang ke rumah kerana tak mahu tinggalkan anak lama-lama.

"Ketika saya berada di set, suami saya kerap kali menghubungi bertanya sama ada saya dah makan atau belum dan jam berapa saya akan bertolak pulang," katanya.

Terbaru, Sarah akan menjalani penggambaran untuk telefilem dan penggambarannya akan berlangsung di Taman Negara Pahang selama lima hari.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 7:08pm
d