rap

Nina enggan dicerca

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“MUZIK dangdut nampak erotik kerana aksi goyang yang dipertontonkan penyanyinya. Bagaimanapun harus diingat peminat dangdut merangkumi semua golongan termasuk kanak-kanak.

“Justeru saya sentiasa mengehadkan pergerakan ketika beraksi di atas pentas agar semua orang selesa dan tidak mencerca. Saya juga perlu menjaga nama baik dua negara iaitu Indonesia dan Malaysia,” kata penyanyi Nina Jenny.

Nina, 25, yang dilahirkan di Bandung, Indonesia kini tampil dengan single berjudul Jurus Mautmu di bawah syarikat rakaman Dua Karya hasil kerjasama Malaysia dan Indonesia.

Dia bermula sebagai hos di beberapa stesen Indonesia seperti SCTV, INDOSIAR, RCTI, MNC, GTV dan pelbagai lagi sejak 2010.

“Saya sudah menyanyi sejak kecil tapi rezeki terlebih dulu datang menerusi bidang pengacaraan. Selepas itu barulah saya menceburi bidang nyanyian dan tampil dengan lagu berkonsep dakwah berjudul Marilah Berzikir.

“Awalnya saya menyanyi genre pop sebelum beralih kepada dangdut. Saya juga banyak membintangi drama terbitan stesen TV Indonesia yang disiarkan pada bulan Ramadan,” katanya yang mengikat kontrak bersama label terbabit pada 2019.

Baru-baru ini, Nina tampil menghiburkan peminat di Kompleks Bukit Jambul, Pulau Pinang sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Syukur kerana peminat warga Indonesia serta warga tempatan memberikan reaksi positif terhadap lagu ini. Muzik dangdut senang diterima peminat kerana mudah dinikmati, dihafal serta ceria. Peminat juga boleh goyang bersama-sama.

“Saya sebenarnya dekat dengan muzik Malaysia kerana mama selalu menikmati lagu penyanyi Malaysia seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ella, Search dan Ukays,” katanya yang berkahwin tahun lalu.

Menurutnya, jika diberi peluang, dia teringin berduet dengan Siti dan Amir Ukays.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 7:00am
d