rap

Apex rasa bertuah

Oleh Najiy Jefri

BERMULA daripada seorang penyanyi jalanan di kampung yang sering membawakan lagu penyanyi terkenal, kini juara Mentor Milenia, Apex Tajudin sudah memiliki lagu sendiri.

Apa yang menarik, lagu berjudul Panggung ciptaan Faizal Tahir, Mike Chan, Karim Karam dan Romeo itu mendapat lebih 480,000 tontonan di saluran YouTube TV3 sejak dilancarkan 24 Januari lalu.

Apex berkata, sebagai artis baru dia teruja dan bersyukur apabila mendapat tawaran bekerjasama dengan penggiat seni hebat tempatan.

“Saya akui bertuah dapat bekerja dengan komposer hebat terutama sekali Faizal Tahir. Kami mengambil masa kira-kira tiga hari untuk proses rakaman lagu itu. Faizal banyak mengajar saya terutama sekali di dalam membawakan watak rock n roll ke dalam lagu itu.

“Sebelum rakaman dilakukan, dia terlebih dulu meminta saya mendengar lagu dari saluran YouTube supaya saya dapat gambaran genre lagu Panggung. Dia seorang yang tidak cerewet serta tidak kedekut berkongsi ilmu. Malah Faizal turut mengajar saya menari supaya dapat melahirkan mood,” katanya kini bernaung di bawah syarikat pengurusan Monkey Bone.

Menurut Apex, dia bersyukur sebaik menjuarai program realiti itu dia dihujani tawaran persembahan yang cukup memberangsangkan.

Malah selepas Panggung, dia bakal bekerjasama sekali lagi dengan Faizal untuk sebuah lagu balada.

Apex yang juga protege kepada mentor, Hazama muncul juara Mentor Milenia pada Disember lalu.

Kemenangan itu melayakkan dia menerima hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi, dan dua motosikal Benelli RFS 150i.

Walaupun kerjaya sebagai penyanyi sedikit sebanyak mengubah kehidupannya, namun jejaka berusia 24 tahun itu tidak malu membantu isterinya menghantar nasi lemak kepada pelanggan apabila pulang bercuti ke Kuala Terengganu.

“Tidak, saya tidak pernah malu. Perniagaan nasi lemak inilah menjadi punca pendapatan kami sejak setahun lalu sebelum saya menyertai Mentor Milenia.

“Saya seronok dapat menghantar nasi lemak kepada pelanggan kerana boleh melihat reaksi mereka. Ada yang menggunakan kesempatan bertemu

untuk bergambar, jadi tiada sebab untuk saya malu.

“Saya dan isteri mahu mengembangkan perniagaan nasi lemak. Insya-Allah, saya mahu membuka cawangan di Kuala Lumpur. Alhamdulillah, perniagaan kami semakin maju sejak menyertai Mentor Milenia. Ada sahaja yang menaja gerai percuma di tapak karnival,” katanya.

Apex berkata, dia juga merancang membawa isteri dan anaknya berpindah ke Kuala Lumpur.

“Namun, disebabkan isteri sibuk menguruskan perniagaan, niat terpaksa ditangguhkan sementara waktu. Dia mahu mencari pekerja yang dipercayai bagi menurunkan resipi nasi lemaknya.

“Buat masa ini, kami mempunyai pekerja, tetapi isteri mahu mencari petugas tambahan. Selepas segala-galanya selesai, isteri dan anak barulah berpindah dan mencari sebuah kedai di Kuala Lumpur,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 6:15am
d