rap

Bella, Engku Emran membisu

Oleh Norhayati Nordin

PELAKON Indonesia, Laudya Cynthia Bella, 32, dan suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin, 45, mengambil pendekatan berdiam diri berhubung isu rumah tangga mereka.

Isu hubungan pasangan berkenaan kini menjadi bualan hangat warganet apabila menyedari tindakan Laudya memadam semua foto bersama suaminya itu di Instagram.

Pelakon filem Syurga Tak Dirindukan itu juga dikatakan sudah ‘unfollow’ atau tidak lagi menjadi pengikut media sosial suaminya.

Laudya yang ditemui media Indonesia ketika hadir menziarah jenazah Allahyarham Ashraf Sinclair di Jakarta semalam tidak menjawab sebarang pertanyaan.

Dia yang tampil dengan pakaian serba hitam terus meluru masuk ke dalam kenderaannya selepas mengucapkan selamat tinggal kepada rakan selebriti lain.

Usaha Harian Metro mendapatkan reaksi Engku Emran berhubung perkara itu juga tidak berjaya apabila dia tidak membalas mesej WhatsApp.

Sejak semalam, banyak spekulasi kurang enak timbul dalam kalangan warganet yang mempersoalkan tindakan Laudya memadam semua foto suaminya di Instagram.

Reaksi negatif warganet lebih ke arah beranggapan rumah tangga dibina Laudya bersama Engku Emran pada 8 September 2017 kini berantakan.

Turut menjadi perhatian warganet ialah apabila Laudya masih menyimpan gambar bersama anak tirinya, Engku Aleesya di laman sosialnya.

Bagaimanapun, sebelum ini Laudya pernah memaklumkan dia tidak akan berkongsi foto bersama suami di media sosial kerana mahu menjaga privasi.

Laudya yang berasal dari Bandung, Indonesia bernikah dengan Engku Emran di hotel terkemuka di Kuala Lumpur dalam satu majlis tertutup dihadiri keluarga dan kenalan rapat.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 3:38pm
d