rap

Azza tak terkesan kata negatif

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

BARANGKALI segelintir pihak memandangnya dengan sebelah mata. Tidak kurang juga tergamak melabelkannya sebagai artis sendu.

Bagaimanapun itu tidak menjadi kudis buat Azza Elite untuk terus gigih mencari rezeki dalam bidang seni yang sudah bertahun-tahun diceburinya.

Azza atau nama sebenarnya Nor Azzarima Zawari, 42, tetap bertahan dengan cara sendiri. Selain aktif berlakon dan mengacara, dia juga sering menerima tawaran sebagai duta produk.

Terbaharu, rezeki menyebelahinya apabila ditawarkan sebagai duta pewangi untuk tempoh setahun.

Azza mengakui, dia tidak pernah terkesan dengan kata-kata negatif yang bertujuan memperlekehkan serta menjatuhkannya.

“Sudah lumrah manusia tak boleh lihat kita bahagia atau senang. Saya ada dengar cakap-cakap kononnya saya terima tawaran ini walaupun rendah sebab tiada pilihan kerana sangat perlukan wang.

“Buat apa saya nak ambil peduli kata-kata ini. Kalau terlalu ikutkan orang, memang tak ke manalah saya dibuatnya. Sedangkan apa yang boleh saya katakan, pemilik produk ini amat menghargai populariti saya.

“Tawaran mereka pun bagus. Saya amat berbesar hati mereka pilih saya kerana kebanyakan pengasas produk sukakan artis baharu atau yang popular,” katanya.

Menurutnya, pelbagai kriteria turut diambil kira antaranya pengalamannya dalam menjual produk serta mempunyai pengikut yang agak ramai di media sosial.

“Walaupun pengikut Instagram saya hanya setengah juta, tapi saya ada pengalaman menjual produk. Saya pernah jadi pengacara Go Shop dan secara tidak langsung tahu cara untuk tarik perhatian orang membeli produk yang dijual.

“Jadi apabila diberi peluang dan kepercayaan, saya terima dengan hati yang terbuka. Ini rezeki saya yang didatangkan daripada Allah SWT dan tak perlu sesiapa mempertikaikannya.

“Yang penting semua pihak yang berurusan dengan saya tahu apa yang dilakukan dan puas hati dengan hasilnya,” katanya.

Bercerita mengenai lakonan, Azza kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama untuk slot Samarinda TV3 berjudul Syurga Untukmu, Telemovie Kontra untuk siaran RTM serta parodi MeleTOP.

“Alhamdulillah, permulaan saya pada 2020 sangat baik. Antara agenda besar dan istimewa tahun ini ialah kemunculan saya bersama anggota asal Elite dalam konsert istimewa pada September ini.

“Perkara ini dimaklumkan oleh Linda yang mengadakan perbincangan bersama Datuk Norman Abdul Halim baru-baru ini.

“Saya tak pasti siapa lagi yang akan turut serta, namun ia mungkin membabitkan artis berkumpulan popular lain pada era 1990-an seperti 4U2C dan Nico,” katanya.

Menurutnya, semua anggota asal Elite termasuk Abby sudah bersetuju untuk terbabit dengan konsert itu nanti.

“Sasha kini berhijrah mengikut suaminya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Dia sudah maklum berkenaan perancangan konsert ini. Dia boleh pulang ke tanah air pada bila-bila masa sekiranya perancangan konsert menjadi kenyataan,” katanya.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 6:15am
d