rap

Zahirah & Aiman sah suami isteri

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PELAKON cantik Zahirah Macwilson, 25, sah bergelar isteri kepada pelakon, Aiman Hakim Ridza, 31, dengan sekali lafaz tepat jam 9 malam tadi di GlamHall, Mercu Mustapha Kamal, Damansara.

Pasangan itu dinikahkan bapa kandung Zahirah, Zainol Macwilson.

Zahirah menerima mas kahwin RM300 berserta lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak lelaki.

Majlis yang diadakan secara tertutup ini dihadiri 200 tetamu terdiri daripada keluarga kedua-dua belah pihak, pengurusan, teman rapat dan rakan media.

Zahirah atau nama penuhnya Nur Zahirah Macwilson Zainol, meluahkan rasa syukur kerana majlis yang dirancang hampir enam bulan itu berjalan dengan lancar.

"Alhamdulillah, sempurna sudah majlis yang saya tunggu. Jujurnya, saya agak gemuruh sejak beberapa minggu menjelang majlis ini.

"Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan saya berasa sangat gembira dan sangat bersyukur kepada Allah SWT," katanya.

Aiman atau nama sebenarnya Aiman Hakim Ridza Abdoh juga turut menyatakan rasa syukur dan gembira yang tidak terhingga kerana menamatkan zaman bujang dengan wanita pilihan hatinya.

“Alhamdulillah, saya kini bergelar suami dan bermulalah sudah tanggungjawab saya untuk isteri, keluarga dan keluarga isteri saya.

"Saya berharap semua pihak mendoakan yang terbaik buat ikatan pernikahan kami ini dan semoga ia kekal sehingga ke jannah," katanya.

Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 8 Jun lalu selepas tujuh bulan menyelami hati budi dan menyulam cinta bersama.

Mereka seterusnya akan diraikan dalam majlis resepsi besar yang dikongsi bersama kedua-dua belah pihak keluarga pada malam esok di lokasi sama.

Majlis akad nikah ini mendapat sentuhan daripada perancang perkahwinan Mahligai Creative Weddings bertemakan Rustic.

Zahirah menggayakan busana hasil sentuhan pereka fesyen terkenal, Teh Firdaus dan ditatarias indah set barangan kemas dari Hearts On Fire bernilai lebih kurang RM1,000,000.

Solekan wajah pula oleh Bosco Ryzal.

Manakala Aiman Hakim pula memilih persalinan baju Melayu rekaan Cosry.

Terdahulu, majlis Malam Berinai Zahirah yang berlangsung semalam, menjadi perhatian di media sosial dengan rata-rata memuji kecantikannya yang diibaratkan persis bintang Bollywood.

Zahirah kelihatan anggun dalam persalinan rekaan Rizman Ruzaini dan disempurnakan dengan solekan Nurul MF serta dandanan rambut oleh Mei Choi.

Majlis Malam Berinai yang diadakan secara tertutup itu diadakan di Quill Mall Convention Center, Kuala Lumpur dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat pasangan terbabit.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 9:55pm
d