rap

Kata dua Harries, tetap nak ziarah kubur Abam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

“MENANG atau kalah tetap akan melawat pusara Abam”, itulah kata dua diberi Syahrullah Harries Shamsudin atau Harries, 10, yang juga peminat setia kumpulan Bocey kepada ibunya.

Ibu Harries dikenali Sarimah Hassan berkata sebelum ini anaknya tidak merungut sangat nak jumpa arwah Abam.

“Tapi, sejak dia tahu Abam sudah tiada, memang banyak kali Harries cakap dan minta izin saya nak menziarah ke pusara arwah. Apatah lagi, Harries sangat meminati Abam” katanya.

Menurut Sarimah, Harries mula minat Abam sejak melihat kemunculan pelawak dengan tagline ‘Gemuk is awesome’ itu menyertai program Maharaja Lawak Mega ketika berusia 6 tahun.

“Bocey antara kumpulan yang paling dia minat. Tapi, sayangnya Harries tak pernah berjumpa Abam dan hanya menonton kelibat arwah di TV.

“Jadi, apabila saya sampaikan berita kematian Abam kepadanya sejurus balik dari sekolah pada 10 Februari lalu, Harries terkejut, tergamam dan terdiam.

“Sebelum ini kalau ada berita artis meninggal, dia biasa saja. Tapi, bila sebut arwah Abam, Harries Iain macam.

“Ia umpama meninggalkan kesan mendalam pada Harries dan sudah banyak kali juga dia ajak saya pergi ziarah,” katanya.

Suri rumah yang menetap di Sungai Buloh, Selangor ini mengakui kasihankan anaknya, tetapi belum berkesempatan kerana suami agak sibuk dengan kerja.

“Saya berjanji dengan Harries untuk membawanya melawat kubur Abam apabila ayahnya ada kelapangan.

“Pada masa sama, cikgu Afifuddin Ahmad Tajuddin, guru di sekolahnya berjanji jika Harries menang dalam pertandingan nasyid disertai, dia akan dibawa menziarah kubur Abam.

“Janji itu sangat menjadi pendorong semangat buat Harries berlatih setiap hari untuk menang dalam pertandingan disertai di Selayang Mall pada 27 Februari ini,” katanya.

Sarimah berkata, dia dapat melihat kesungguhan anak kelimanya berlatih setiap hari dengan harapan akan menang supaya boleh pergi menziarahi kubur arwah Abam.

“Saya mendoakan supaya Harries berjaya dalam pertandingan nasyid terbabit. Kalau dia menang, cikgu akan bawa.

“Sekiranya dia gagal menang dalam pertandingan nasyid disertai, saya tetap akan bawa dia menziarah kubur Abam biarpun tidak kenal arwah dan hanya melihat di televisyen saja. Itu janji saya,” katanya.

Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 9:17pm
d