rap

Semarak muzik rock

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

GABUNGAN nama hebat iaitu kumpulan XPDC Kita Peng Yu, May serta Yan Lefthanded, Omma Akira (Laksamana) dan Joy Oren bakal menghiasi pentas konsert Jelajah Raksasa Siri 1 yang berlangsung di Kompleks Rakan Muda, Daerah Jempol, Negeri Sembilan pada Sabtu, 29 Februari ini jam 8.45 malam.

Konsert anjuran Areena Event Entertainment ini tentunya menggembirakan masyarakat sekitar terutama golongan mat rock yang dahagakan persembahan genre sedemikian.

Pengarah urusannya, Roslina Abdul Rahman berkata, idea penganjuran konsert sulungnya ini tercetus apabila dia melihat konsert di Hard Rock Cafe dan i-Cafe Bikerstation, Sungai Buloh.

“Sebelum ini saya hanya aktif menganjurkan persembahan makan malam di sekitar Negeri Sembilan.

“Saya sukakan persembahan ‘live’ band. Secara tiba-tiba terfikir kenapa saya tak menganjurkannya di kawasan luar bandar?

“Kompleks Rakan Muda, Daerah Jempol jadi pilihan kerana ia kawasan Felda yang dihuni ramai penduduk, tapi kekurangan hiburan,” katanya.

Menurut Roslina, dia kerap menyaksikan persembahan May serta XPDC dan mendapati reputasi mereka sangat hebat apabila beraksi di pentas.

“Saya turut buat tinjauan dan mendapati kebanyakan peminat rock sukakan mereka. Jadi, langkah mengambil mereka dalam konsert sulung ini adalah sangat tepat.

“Penganjuran konsert ini turut dibantu Omma. Saya juga tertarik dengan gandingan Omma dan Yan yang bagus serta ada perancangan lain untuk mereka selepas ini.

“Apapun ini adalah percubaan pertama. Selepas ini saya rancang nak anjurkan lagi konsert selepas hari raya ke negeri sebelah utara pula. Yang pasti kedua-dua kumpulan ini akan dikekalkan,” katanya yang berhasrat mengembalikan semula kegemilangan muzik rock seperti dulu.

Sementara itu, Omma mengakui teruja untuk beraksi dalam konsert ini. Tambah lagi, jualan tiket setakat ini amat menggalakkan.

“Gabungan kumpulan XPDC dan May serta pemuzik terkenal seperti Yan amat dinantikan peminat. Lagipun mereka jarang dapat melihat persembahan begini.

“Setiap kumpulan akan bermain selama 45 minit. Saya dan Yan akan tampil sebagai pembuka pentas dan disusuli XPDC selepas itu. May pula akan menjadi artis penutup.

“Kami juga akan bergabung menampilkan satu lagu istimewa untuk menutup persembahan. Istimewanya konsert ini berlangsung pada tarikh yang dikenali sebagai tahun lompat,” katanya.

Dalam pada itu, Areena Event Entertainment turut menganjurkan pertandingan Battle of The Band yang akan berlangsung pada Jumaat ini.

“Sambutan yang diterima amat hangat apabila 15 kumpulan membuat pendaftaran awal. Malah, kami terpaksa tolak penyertaan seterusnya.

“Kami akan pilih lima kumpulan untuk ke final. Juara akan menerima wang tunai RM2,000, tempat kedua RM1500 dan ketiga RM1,000. Dua kumpulan lagi akan menerima saguhati RM300.

“Peserta akan diadili dua juri profesional dan juara akan diberi peluang beraksi dalam konsert Juara Raksasa Siri 1 menyampaikan dua lagu,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert ini berharga RM30 untuk dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Keterangan lanjut boleh diperoleh menerusi Facebook Areena Event Entertainment.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 6:20am
d