rap

Terbina mahligai cinta

Oleh Georgie Joseph

IMPIAN pelakon Emma Maembong membina mahligai cinta akhirnya termakbul apabila disatukan dengan lelaki idamannya yang juga juruterbang, Muhammad Shazli Azhar, kelmarin.

Perkenalan singkat, Emma, 27, dan Shazli, 32, bukan penghalang buat mereka melangkah ke fasa serius untuk berumah tangga. Kalau sudah namanya jodoh, sama ada cepat atau lambat, itu semua ketentuan Yang Esa.

Menariknya, kisah percintaan mereka juga berlaku tanpa disangka. Selepas bertemu pada 2017, tidak serta-merta timbul perasaan istimewa antara mereka sebaliknya sekadar kenalan.

Berkongsi lanjut proses hubungan mereka, pelakon Cemburu Seorang Perempuan terbabit hanya kembali menghubungi Shazli selepas setahun berkenalan.

“Kami bersua buat kali pertama pada 2017 ketika menghadiri majlis sambutan ulang tahun Uqasha Senrose. Namun, ketika itu kami hanya berborak kosong dan tidak pernah menjangkakan jodoh itu milik kami.

“Keesokan harinya, dia menghantar mesej peribadi kepada saya menerusi Instagram namun saya terlepas pandang. Setahun kemudian, baru saya terbaca mesej berkenaan,” katanya.

Emma bagaimanapun mendedahkan perbualan mereka ketika itu tidak serius mana sehingga Julai tahun lalu. Mereka akhirnya mengenali hati budi masing-masing dan menjalin cinta.

“Pada 2018, hanya berbalas mesej biasa termasuk bercakap topik mengenai kucing. Namun, perbualan itu berakhir begitu saja.

“Dipendekkan cerita pada 15 Julai tahun lalu, kami berhubungan semula di Instagram. Kali ini proses itu lebih jelas dan masing-masing bertukar nombor telefon. Seminggu selepas itu, dia mahu jadikan saya sebagai kekasihnya.

“Seminggu seterusnya pula, dia bersungguh-sungguh mahu menjadikan saya sebagai isterinya,” katanya.

Kesungguhan Shazli, akhirnya mengetuk hati Emma bahawa dia lelaki tepat buatnya. Justeru, mereka tidak memikir lama dan terus sepakat menghalalkan hubungan mereka.

“Pada Oktober tahun lalu, keluarga Shazli datang merisik dan selepas dua bulan mengenali diri masing-masing, kami sepakat untuk berkahwin. Semuanya bagai tersusun cantik.

“Saya sukakan dia kerana dia sangat matang dan mementingkan keluarga. Dia juga enggan membuang masa dalam hubungan ini dan demikian juga saya.

“Saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami menjadi pasangan suami isteri yang sah meskipun dalam perkenalan yang singkat. Insya-Allah fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan Shazli,” katanya.

Dalam pada itu, Shazli menyifatkan Emma menepati ciri-ciri wanita idamannya disebabkan perwatakannya yang tegas, tapi baik.

“Apabila membuat keputusan, dia seorang yang tegas. Dia sentiasa utamakan keluarga dan tahu apa yang diinginkan dalam hidup.

“Dia juga memiliki hati yang sangat baik dan disenangi ramai kawan,” katanya.

Emma sah bergelar isteri kepada Shazli dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di Dunia Melayu Bukit Damansara jam 11.59 pagi, kelmarin.

Emma dan Shazli sah diijabkabul berwalikan bapanya, Ismail Embong serta dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Mohammad Akmal Abdul Aziz.

Pada majlis itu, Emma menerima mas kahwin RM2,000 berserta senaskhah al-Quran dan lima dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan wang hantaran dirahsiakan, manakala pihak perempuan menyerahkan tujuh dulang.

Pasangan itu dijadualkan mengadakan majlis resepsi di Putrajaya pada 7 Mac depan manakala majlis berinai diadakan sehari sebelum itu.

Disiarkan pada: February 22, 2020 @ 6:30am
d