rap

Elok selesaikan secara aman

Oleh Cik Pang

SEPANJANG minggu ini, isu yang terbit antara penyanyi Naim Daniel dan bekas kekasihnya, Dayana berhubung lagu Sumpah sebagai hak milik bersama ternyata semakin kecoh. Kekecohan itu juga kebetulan tercetus selepas Naim menang pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) baru-baru ini.

Pada sidang media dibuat Dayana, bekas kekasih Naim itu menggesa penyanyi terbabit supaya bersikap jujur kepada peminatnya untuk memaklumkan perkara sebenar berkaitan hak penciptaan lagu Sumpah. Naim pula memintanya mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan itu.

Sekali gus, kekecohan itu membawa kepada kesan yang berpanjangan apabila sudah dilaporkan banyak media. Warganet pula ambil alih peranan menjatuh hukum terhadap kes mereka itu dengan pendapat yang bercanggah.

Dayana bertubi-tubi mendapat kecaman apabila dia dianggap menangguk di air keruh terutama selepas kemenangan Naim. Tidak terkecuali, dia dikatakan tamak dan ‘hadap’ untuk mendapat wang.

Hakikatnya, dia sendiri mengakui sedar akan berhadapan kecaman lebih teruk daripada warganet sebaik membuat tuntutan secara serius berkaitan hak penciptaan itu. Namun dia tetap meneruskannya atas alasan kecewa haknya dilenyapkan tanpa sebarang perbincangan.

Cik Pang tidak berniat mahu menuding kesalahan kepada mana-mana pihak, namun alangkah baiknya jika permasalahan ini diselesaikan secara aman. Kekecohan sebegini tidak sepatutnya berlaku jika isu itu tidak diperbesar.

Ikut logik, mereka berdua pun semestinya sangat profesional dalam hal ini memandangkan masing-masing tahu kebenaran. Namun, kenapa permasalahan ini belum cuba diselesaikan sejak awal-awal lagi?

Dalam hal ini, ia sebaliknya akan membabitkan lebih banyak pihak sehingga keadaan menjadi keruh. Jika kebenaran sudah terbukti kelak, bagaimana pula hal itu akan memberi kesan kepada kedua-duanya?

Cik Pang masih tidak melihat di mana sukarnya untuk kedua-dua pihak menyelesaikan hal itu secara aman tanpa menghebahkan kepada orang awam.

Kerjaya Naim baru hendak kembali mekar dan membuka mata ramai pengikut industri. Tidak manislah jika permasalahan itu memberi kesan kepadanya sedangkan dia insan seni yang cukup besar potensinya.

Meskipun mungkin sudah wujud krisis dalam hubungan mereka sebelum ini, kedua-duanya perlu menangani perkara itu dengan cara lebih matang. Paling penting, jangan lakukannya hanya berdasarkan rasa dendam masih berbekas.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 6:00am
d