rap

Isu lagu Sumpah: Produksi tak masuk campur

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PIHAK penerbitan, Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL34) yang berlangsung 9 Februari lalu tidak mencampuri isu berbangkit mengenai hak penciptaan lagu Sumpah nyanyian penyanyi, Naim Daniel yang dinobatkan sebagai Juara Lagu.

Penerbit Eksekutif, Nurhul Huda Khalid berkata, perkara yang timbul membabitkan Naim dan Dayana adalah masalah peribadi mereka.

“Mengikut pendirian pihak produksi, kami tidak masuk campur sebab itu masalah dalaman.

“AJL ini berdasarkan pencalonan lagu yang dihantar pihak syarikat rakaman atau label.

“Dalam kes Naim, sebagai Juara Lagu bayaran kita tetap bayar pada dua nama iaitu dia dan Omar K,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Nurhul Huda menasihati kepada komposer yang mahu mencalonkan lagu mereka pada Muzik Muzik akan datang agar bersikap telus dan jujur dalam penciptaan.

“Cuma, pada masa akan datang komposer kena berhati-hati, jujur dan telus dalam penciptaan.

“Kalau ada 10 orang buat, letaklah 10 nama pun tak kisah,” katanya.

Terdahulu, Dayana, 21, atau nama sebenarnya Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah menggesa Naim supaya bersikap jujur kepada peminatnya untuk memaklumkan perkara sebenar berkaitan hak penciptaan lagu Sumpah.

Malah, Dayana turut meminta Naim mendaftarkan lagu Sumpah sebagai hak milik bersama dalam sidang media yang diadakan pada Rabu lalu.

Isu pertikaian hak cipta lagu Sumpah sudah tercetus sekitar Julai tahun lalu apabila karya itu dikatakan berkisar pada kisah cinta sebenar.

Lagu Sumpah dicipta secara bersama oleh Naim dan Dayana pada 2015 ketika mereka masih bercinta.

Disiarkan pada: February 23, 2020 @ 10:36am
d