rap

Tak sabar jadi Mamat

Oleh Norhayati Nordin

SELEPAS kejayaan pementasan tahun lalu, Istana Budaya (IB) sekali lagi mempersembahkan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi untuk hiburan penonton kanak-kanak.

Teater mendapat sentuhan pengarah, Aminah Rhapor ini menampilkan barisan pelakon seperti Janna Nick, Issey Fazlisham, Atu Zero dan Isma Halil Hamzah.

Issey, 32, yang melakonkan watak Mamat berkata, dia masih tidak dapat melupakan sambutan hebat dan meriah yang diterima daripada penonton pada pementasan tahun lalu.

“Alhamdulillah, saya juga tak sangka masih diberi peluang untuk menjayakan pementasan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi ini lagi.

“Tak sabar rasanya nak beraksi menghiburkan penonton cilik dan seisi keluarga yang datang menonton teater ini bermula 14 hingga 21 Mac nanti.

“Jujur diakui, saya seronok menjadi sebahagian pasukan produksi untuk teater ini kerana tidak banyak pementasan teater untuk kanak-kanak.

“Malah, melihat pada aspek penjenamaan pula teater muzikal Siti Di Alam Fantasi ini turut mempunyai kelompok peminat tersendiri,” katanya.

Sehubungan itu, teater muzikal Siti Di Alam Fantasi mula dipentaskan pada 1998. Diikuti pada 2000 yang mana penyanyi dan pelakon Amy Mastura sebagai pelakon utamanya.

Pada 2005, teater ini dipentaskan lagi di Panggung Sari, IB dan di atas sambutan hebat penonton yang tidak pernah jemu, ia dipentaskan pada 2010 pula.

Menurut Issey, sudah ada beberapa siri pementasan untuk teater Siti Di Alam Fantasi yang hingga kini sambutannya tetap menakjubkan dan di luar jangka.

“Untuk tahun lalu saja, apa yang boleh saya kongsi adalah setiap malam persembahan panggung akan penuh. Malah, hingga kini jalan ceritanya masih diingati kanak-kanak.

“Maklum balas ini saya peroleh sendiri daripada anak beberapa kenalan yang berpeluang ke IB bersama seisi keluarga menonton teater Siti Di Alam Fantasi,” katanya.

Ditanya jaminan untuk persembahan pada Mac nanti, Issey berkata, tetap menghiburkan dan semestinya penonton tidak akan berasa rugi membeli tiket.

Mengulas kelainan watak Mamat, Issey berkata, biar dirahsiakan lagi. Apapun, katanya, dia berusaha merealisasikan karakter itu sebaik mungkin.

Bagi mereka yang berminat menyaksikan pementasan teater muzikal Siti Di Alam Fantasi ini, harga tiket ditetapkan RM38 sehingga RM108.

Issey yang bertugas sebagai penyampai radio selain pelakon komedi berkata, tak dinafikan jadual kerjanya agak padat, tetapi dia gembira kerana ia bidang diminati.

“Kalau namanya kerja, memang penat. Tetapi, saya bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan Allah setakat ini kerana semuanya buat keluarga.

“Sebagai ketua keluarga, menjadi tanggungjawab saya gigih bekerja. Apapun, menariknya kehidupan saya kini sudah lengkap bersama isteri dan anak-anak,” katanya.

Issey mendirikan rumah tangga kali kedua pada 22 Disember tahun lalu, bertemu jodoh dengan rakan sekolahnya, Noor Aimi Mohamed Jamil, 32.

Aimi yang kini menetap di Kelantan dan bertugas sebagai pengurus sumber manusia adalah ibu tunggal kepada tiga cahaya mata berusia empat hingga lapan tahun.

Memiliki ‘anak segera’ bagi Issey, banyak membantunya mendapatkan pengalaman baru sebagai bapa termasuk menguruskan anak-anak ke sekolah.

“Apa saja orang nak cakap biarlah kerana saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Memiliki isteri dan anak, melengkapkan hidup saya,” katanya.

Mengulas untuk rezeki cahaya mata baru, Issey berkata, dia dan isteri menyerahkan semuanya pada ketentuan Allah dan mereka tidak merancang.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:20am
d