rap

'Tunjuk bukti dulu' - Naim Daniel

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Naim Daniel tetap tegas dengan pendirian untuk melihat bukti dimiliki pihak Dayana seperti yang didakwa mengenai hak cipta lagu Sumpah yang dinobatkan Juara Lagu pada Anugerah Juara Lagu ke-34 (AJL 34) lalu.

Naim berkata, perkara itu jelas berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan pihak syarikat rakaman, World Peace Entertainment (WPE) pada 20 Februari lalu.

“Sekali lagi, ingin diulangi pihak saya tetap meminta pihak Dayana mengemukakan bukti kukuh. Apabila sudah ada bukti kukuh, barulah berbaloi untuk berbincang.

”Bukan untuk menafikan membabi buta, tapi pihak yang menuntut asyik ingin menuntut saja dan terus membuat liputan media. Tuntutan walau apa sekalipun mesti berasas dan disokong oleh bukti. Bukan untuk mencetus kontroversi,” katanya kepada Harian Metro.

Naim berkata, perkara membabitkan hak cipta tidak boleh dibuat sesuka hati.

“Hak cipta bukan boleh semborono saja. Segala mengenainya sudah termaktub dalam Akta Hak Cipta 1987. Dalam akta itu pun ada menyatakan perlu ada bahan bertulis dan sebagainya. Kami minta itu saja. Sampai hari ini belum dikemukakan,” katanya.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, WPE menjelaskan lagu Sumpah adalah mutlak hasil karya bersama Naim dan Omar K.

Sumpah seperti mana yang sudah diterbitkan dan diketahui umum sejak April tahun lalu akan sentiasa menjadi hak cipta dikreditkan kepada pihak berkenaan.

WPE juga berharap sebarang ketidakpuasan hati di antara mana-mana pihak sudah pun diselesaikan terlebih dahulu, namun hakikat berlaku adalah sebaliknya dan ia masih berpanjangan.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:18pm
d