rap

'Hingga sekarang Naim membisu' - Dayana

Oleh Sudirman Mohd Tahir

“SEHINGGA sekarang pihak Naim tidak ada menghantar mesej, menghubungi atau berjumpa bagi menyelesaikan isu hak cipta ini,” kata Dayana, wanita yang mendakwa hak cipta bersama lagu Sumpah nyanyian Naim Daniel.

Dayana atau nama sebenarnya, Siti Amirah Dayana Mohd Amerullah berkata, pihaknya sudah mengaturkan pertemuan dengan pihak Naim tetapi gagal.

Alasan diberikan, pihak Naim tetap mahukan pihak Dayana mengirim bukti menerusi emel.

“Pihak saya ada aturkan perjumpaan dengan syarikat rakaman Naim iaitu World Peace Entertainment (WPE), mereka tak nak jumpa atas alasan pihak saya sudah buat sidang media dulu sebelum jumpa.

“Mereka nak juga kami emelkan bukti. Tapi, pihak kami putuskan untuk tidak email sebarang bukti melainkan selepas pihak sana bersetuju untuk berjumpa,” katanya.

Terdahulu, pada 19 Februari lalu, Dayana menerusi sidang media diadakan meminta Naim mendaftarkan lagu Sumpah sebagai hak milik bersama.

Dayana berkata, tindakan diambilnya untuk mengadakan sidang media juga tidak ada kena mengena dengan tuntutan wang.

Menerusi sidang media itu, dia memberi tempoh seminggu kepada Naim untuk membuat pengakuan secara terbuka bahawa lagu itu adalah karya ciptaan bersama mereka.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 6:37pm
d