rap

'Terima kasih terus doakan arwah Ashraf'

Oleh Norhayati Nordin

KERINDUAN seorang ibu terhadap anaknya yang sudah ‘pergi buat selamanya’, sukar diucap dengan kata-kata.

Perasaan rindu dan sayang itu hanya Allah SWT saja yang tahu. Apapun, kehidupan perlu diteruskan.

Menerusi entri dimuat naik di Instagram, Khadijah memaklumkan dia bersama keluarga sudah pulang ke tanah air dan mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoakan arwah anaknya.

“Assalammualaikum, semua yang dikasihi. Keluarga Sinclair sudah pulang ke Malaysia untuk sementara.

“Kami bersyukur menerima kasih sayang untuk arwah Ashraf dan mohon doa Al Fatihah tidak terputus untuknya.

“InshaaAllah dengan izin Allah SWT, saya akan kerap ke Jakarta untuk bersama anak tersayang, Bunga dan cucu tersayang saya, Noah.

“Saya meyayangi kamu semua kerana sangat mencintai anak saya, arwah Ashraf,” tulisnya dalam entri dimuat naik.

Khadijah yang mesra dengan sapaan Dida turut mengajak orang ramai yang mengikuti Instagramnya supaya melakukan perbuatan baik di bumi Allah ini.

“Mari kita melakukan perbuatan baik di bumi supaya kita dapat bersama dengannya di Jannah. InshaaAllah. Al Fatihah. Amin,” katanya.

Menerusi entri menyentuh perasaan dikongsikan Khadijah itu, lebih 40,000 tanda suka diterima, manakala lebih 1500 komen ditulis pengikutnya.

Rata-rata komen ditulis mengharapkan Khadijah terus cekal dan kuat berhadapan ujian besar dilaluinya sekeluarga.

Ramai juga warganet yang berkongsi perasaan sedih mereka dan memaklumkan akan terus mendoakan kesejahteraan buat Allahyarham Ashraf.

Terdahulu, empat hari lalu Khadijah ada memuat naik entri di Instagram meluahkan perasaan sedihnya selepas pemergian arwah Ashraf.

Arwah Ashraf, 41 meninggal dunia akibat serangan jantung di Rumah Sakit Metropolitan Medical Centre (MMC), Kuningan, Jakarta, pada jam 4.51 pagi waktu tempatan atau 5.51 pagi waktu Malaysia.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri iaitu pelakon dan penyanyi, Bunga Citra Lestari dan anak lelaki, Noah Aidan Sinclair yang berusia 10 tahun.

Disiarkan pada: February 26, 2020 @ 9:25pm
d