rap

Semangat lebih membara

Oleh Norhayati Nordin

MESKIPUN ‘bersih’ daripada gosip dan cerita sensasi, nama pelakon Ungku Ismail Ungku Aziz tidak asing dalam industri hiburan tanah air.

Apatah lagi, memiliki bakat lakonan yang mantap membuatkan Ungku Ismail berada dalam zon tersendiri. Apapun, terbabit pementasan teater adalah kepuasannya.

Ungku Ismail, 34, berkata, dia sentiasa melihat positif pada karakter akan dilakonkan untuk pementasan teater yang memerlukan komitmennya.

“Berlakon teater tidak sama seperti membintangi drama atau telefilem di TV. Untuk saya, apabila mendapat peluang berlakon teater, ia peluang sangat dihargai

“Saya selesa beraksi di pentas teater kerana banyak perkara baru dipelajari selain pelbagai pengalaman ditimba. Semangat berlakon teater itu lebih membara.

“Terus terang, beraksi dalam teater bagi saya boleh memupuk perpaduan, membentuk cara lakonan yang baik dan menjadi lebih beradab,” katanya.

Menurut pelakon drama Adellea Sofea bersama Mira Filzah di TV3 ini, disiplin diri juga dijaga baik kerana perlu memberi fokus yang padu.

Berkongsi pengalamannya, Ungku Ismail berkata, terbabit dengan pementasan teater bukan setakat datang bekerja dan membaca skrip untuk difahami saja.

“Ia lebih memerlukan pelakon memahami jalan penceritaan digarap dalam sesuatu naskhah itu serta tahu melontarkan intonasi vokal yang betul.

“Malah, berlakon teater juga bukan konsep lakonan sembarangan yang mana pelakon datang ke lokasi, habiskan penggambaran dan kemudian terus balik ke rumah,” katanya.

Ungku Ismail yang terbabit dalam banyak pementasan teater berkata, dia selalunya akan membuat kajian watak yang menyeluruh.

“Apatah lagi, jika membabitkan pementasan teater muzikal yang memerlukan saya menyanyi. Untuk tugasan nyanyian itu, saya buat latihan juga.

“Berlakon teater memerlukan fokus dalam banyak sudut dan saya akui sangat sukakannya kerana cabaran pada diri. Ia mampu bentuk saya jadi pelakon yang baik,” katanya.

Mengulas pementasan teater di IB pernah dijayakannya, Ungku Ismail berkata, dia sudah beberapa kali beraksi di Panggung Sari menerusi teater Mok Cun, Bawang Putih Bawang Merah dan terbaru, Semarak Pertiwiku.

Berbicara juga mengenai perkembangan kerjaya lakonan, menurutnya dia terbabit penggambaran untuk dua telefilem dan satu drama TV.

“Saya seorang yang teliti pada watak dan jalan cerita. Jika watak ditawarkan itu sesuai dan saya ada kelapangan masa pasti akan diterima.

“Baru-baru ini, saya terbabit untuk watak pembantu dalam drama terbitan RTM. Saya terima kerana karakter itu menarik dilakonkan,” katanya.

Ditanya juga mengenai nyanyian, Ungku Ismail berkata, dia suka menyanyi dan kebanyakan lagu kegemarannya adalah karya nyanyian Datuk M Nasir.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 6:31am
d