rap

'Tiara lambai siapa tu?' - Achey Bocey

Oleh Norhayati Nordin

"SAMPAI sekarang saya pun tak tahu dengan siapa Tiara Zinnirah melambai-lambai tangannya ketika kami nak balik selepas menziarah kubur arwah Abam, baru-baru ini.

"Ketika di rumah, pelik jugalah apabila tengok video kami kerana pada hari berkenaan memang saya dengan Tiara saja berdua di kawasan tanah perkuburan itu selain isteri yang mengambil video," kata pelawak Achey Bocey.

Sejak beberapa hari lalu, tular video anak Achey iaitu Tiara Zinnirah yang berusia setahun lapan bulan melambai-lambai tangan kepada 'seseorang' seolah-olah diperhatikan ketika berjalan pulang bersama bapanya selepas menziarah kubur Allahyarham Abam.

Achey yang tidak menyangka video itu tular berkata, Tiara memang rapat dengan Abam sejak bayi lagi. Arwah pernah cakap dengan saya, sebelum Tiara memang tak ada bayi yang berani dekat dengan dia. Kalau dia pegang, biasanya bayi itu akan menangis kerana takut.

“Namun, dia terkejut dengan sikap dan penerimaan Tiara terhadapnya. Tiara tak pernah menangis ketika dipegang arwah, sampailah apabila anaknya, Hamzah dilahirkan, Tiara tetap rapat dengan Abam," katanya.

Menurut Achey, tujuan dia membawa Tiara menziarah kubur Abam pada Isnin lalu pun bukan untuk merakam video.

"Saya bawa Tiara ke situ kerana dia memang kenal dan rapat dengan Abam ketika arwah masih hidup. Lagi pun, saya nak didik Tiara untuk dia jangan takut dengan kawasan perkuburan kerana di situlah tempat pengakhiran kita nanti. Saya nak Tiara belajar untuk faham dan Alhamdulillah, dia nampaknya menerima dengan positif. Dia pun saya lihat tak ada rasa takut langsung," katanya.

Menurut Achey, perbuatan Tiara melambai tangan itu dilakukan anaknya secara spontan dan langsung tidak disuruh.

"Mengenai situasi tu (melambai tangan), kalau ada orang nak cakap saya suruh Tiara, terpulanglah kerana jujur diakui memang berlaku secara spontan. Saya tak suruh Tiara buat apa-apa pun termasuk melambai-lambai tangan di tanah perkuburan. Ketika itu memang tiada orang lain di situ,” katanya.

Sehingga kini, video berdurasi 26 saat yang dimuat naik Achey di Instagram mencatat lebih 1 juta tontonan dan lebih 1,900 komen daripada pengikutnya.

Rata-rata warganet menulis Tiara melambai kepada arwah Abam dan meminta terus mengutus doa buat arwah.

Kebanyakannya kagum dengan persahabatan anggota Bocey yang tak pernah berhenti merindukan arwah Abam.

Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Ridzuan meninggal dunia pada 10 Februari lalu di kediamannya di Gombak, Selangor.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak yang dihadiri lebih 2,000 orang.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 2:11pm
d