rap

Saya doakan kamu bertaubat sebelum mati - Ali Puteh

Oleh Norhayati Nordin

SEJAK minggu lalu, pelawak Ali Puteh, 31, tidak henti-henti dilanda ujian kesabarannya.

Pelbagai insiden tak diduga harus dihadapi Ali termasuk akaun media sosialnya digodam pihak tidak bertanggungjawab.

Ali atau nama sebenar Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan kehilangan lebih 400,000 pengikutnya di Instagram.

Tidak melatah dengan perkara itu, Ali terus mengambil inisiatif membuka akaun Instagram baru.

Namun, baru-baru ini Ali menerima mesej daripada individu tidak dikenali meminta dia membayar RM30,000 jika mahu akuan Instagram lamanya semula.

Enggan berurus niaga, pelawak dari Kumpulan Puteh itu membuat keputusan tidak mahu membayar sesen pun.

"Takpelah, berkaitan urus niaga jual beli Instagram yang sudah digodam itu, saya tak berminat. Biarlah dia ambil, kalau memang betul Instagram itu. Saya tak kisah pun," katanya kepada Harian Metro.

Menerusi perkongsian di Instagram yang baru, Ali menitipkan pesanan 'makan dalam' kepada pihak berkenaan.

"Percaya kata saya, setiap yang hidup pasti akan mati. Saya doakan kamu ye sahabat," katanya.

Menolak untuk aktiviti urus niaga ditawarkan pihak berkenaan, Ali berkata, tidak mengapa jika pihak berkenaan mahukan akaun Instagram itu.

"Jika kamu mahu, ambillah. Saya tak perlukan. Cuma, saya doakan kamu bertaubat sebelum mati ye,” tulisnya.

Lebih 6,000 pengikut Ali menyukai muat naik itu dengan lebih 200 komen diterima.

Kebanyakan komen ditulis, tindakan dilakukan Ali mendapat sokongan pengikutnya yang menganggap pihak berkenaan cuba mengambil kesempatan.

Disiarkan pada: February 27, 2020 @ 7:14pm
d