rap

Selebriti warnai arena polItik

Oleh Syafil Syazwan Jefri

WALAUPUN dunia hiburan dan politik adalah dua cabang berbeza, ia tidak menjadi penghalang untuk golongan selebriti menunjukkan minat mereka terhadap politik.

Tidak sekadar melontarkan kecenderungan dan pendapat secara terbuka terhadap sesuatu parti, malah ada juga yang terus membabitkan diri dalam politik.

Di Malaysia, ada beberapa selebriti yang cukup dikenali dan pernah mewarnai arena politik tanah air.

Penyanyi, Aishah antara yang terbuka untuk berbicara mengenai politik.

Pada 2012, penyanyi lagu Janji Manismu itu menyertai Pas dan bertanding sebagai calon Parlimen Jempol pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) .

Pada tahun sama, dunia politik tanah air juga menyaksikan penyanyi veteran, Herman Tino bertanding di Parlimen Tanjung Karang atas tiket sebagai calon Bebas.

Penyanyi lagu Serampang Laut itu meraih 340 undi dalam pertembungan tiga penjuru, merebut kerusi Parlimen itu.

PRU-13 benar-benar mencuri tumpuan ramai kerana deretan nama selebriti yang mencuba nasib dalam bidang politik termasuk penyanyi 80-an, Dayangku Intan.

Penyanyi lagu Kita Insan Biasa itu menjadi calon untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bertanding di Parlimen Pengerang.

Datin Anne Ngasri yang juga isteri ahli politik, Datuk Sumali Reduan sehingga hari ini masih aktif bergerak di dalam dunia politik.

Anne mula aktif bersama Umno sejak 2013 dan pernah memegang tanggungjawab sebagai Ketua Puteri Umno Cawangan Dataran Merdeka dan Bukit Bintang.

Pelakon, Dira Abu Zahar yang juga anak bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Abu Zahar mengikut jejak langkah bapanya dengan terjun dalam dunia politik.

Dira menyertai Puteri Umno dan pernah menggalas tanggungjawab sebagai Exco bagi cawangan Tangga Batu.

Pada PRU-14, industri seni hiburan dan politik tanah air dikejutkan

dengan berita mengenai pelakon dan pengacara, Azwan Ali mengumumkan mengenai pencalonannya sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

Adik kepada Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu turut mendapat sokongan beberapa penyokongnya ketika proses kempen PRU berlangsung.

Barisan selebriti yang mencuba nasib di dalam bidang politik tidak hanya di Malaysia, bahkan di luar negara, jumlahnya lebih ramai.

Di negara jiran, Indonesia contohnya, ramai selebriti yang bertukar status daripada artis kepada ahli politik. Antaranya Krisdayanti, Mulan Jameela, Rhoma Irama, Anang Hermansyah, Pasha Ungu, Rano Karno dan Desy Ratnasari.

Di Amerika Syarikat pun tak kurang hebatnya. Antara selebriti yang mencuba nasib adalah Clay Aiken, Arnold Schwarzenegger dan Jerry Springer.

Manakala, di India pula menyaksikan nama besar seperti Amitabh Bachchan dan isterinya, Jaya Bachchan turut ingin memegang tanggungjawab sebagai ahli politik.

Yang pasti, setiap apa pun yang ingin dilakukan biar bersungguh-sungguh dan mampu memberikan manfaat bukan saja buat diri sendiri, tetapi juga seluruh masyarakat yang diwakili.

Di Malaysia, isu politik sedang hangat diperkatakan dan mencuri tumpuan seluruh masyarakat. Tentunya, sebagai rakyat, kita sentiasa mengharapkan supaya ada kesudahan yang terbaik buat negara kita yang tercinta.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 6:30am
d