rap

Ali Puteh terima 700,000 mesej kecaman

Oleh Norhayati Nordin

PELAWAK Ali Puteh, 31, menerima lebih 700,000 kecaman menerusi mesej langsung (DM) daripada warganet di Instagram sebelum ia digodam.

Ia berikutan isu keluarga membabitkan 'perang dingin' dengan kakak iparnya, Nor Hidayah Mohd Ali yang juga balu Allahyarham Abam berkaitan pembahagian harta.

Ali ketika ditemui selepas majlis tahlil arwah Abam anjuran Astro di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, malam semalam berkata, dia tidak menduga dikecam sebegitu teruk oleh warganet.

"Saya dan keluarga dihina teruk dan maruah kami diaibkan. Kecaman dilemparkan warganet kepada kami sekeluarga sangat hebat. Namun, selepas saya mengadakan sidang media baru-baru ini menjelaskan cerita sebenar, lebih 90,000 DM meminta maaf yang saya terima.

"Dengan seikhlas hati, saya tegaskan segala dosa mereka (warganet) yang kecam saya dan keluarga sudah dimaafkan. Saya berlapang dada memaafkan anda semua," katanya.

Ali berkata, sejak arwah abangnya itu meninggal dunia dan timbul isu dengan kakak ipar, dia tidak boleh tidur.

"Tidur saya tidak pernah lena selepas apa yang berlaku itu. Jadi, sekarang saya sangat menjaga percakapan terhadap apa yang nak dikomen supaya tidak timbul lagi sebarang isu.

"Hanya dalam beberapa hari lalu tidur saya mula dirasa tidak terganggu apabila isu keluarga sedikit reda dan warganet lebih memberi tumpuan kepada hal politik negara.

"Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan doa saya untuk tenang semula, boleh tidur dan tidak terlalu memikirkan isu yang terjadi. Apapun, saya sedar ujian yang harus dihadapi ketika ini sangat besar dan akur menerimanya kerana yakin perlu sentiasa bermuhasabah diri," katanya.

Enggan melatah dengan kecaman warganet, Ali berkata, fokusnya kini lebih ditumpukan pada tanggungjawab menjaga ibu, Sabariah Arshad, 63, dan keluarga selepas kematian Abam.

Menurut Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Ridzuan, dia juga dalam usaha mahu menyelesaikan isu yang tercetus dengan kakak ipar secepat mungkin.

Selepas tiga minggu Abam meninggal dunia, Ali yang ditanya adakah pernah bermimpi arwah mengakui ada bertemu dalam mimpinya.

"Dia (Abam) ceria dan senyum saja dalam mimpi itu. Dapat juga saya memeluknya untuk melepaskan rindu. Alhamdulillah," katanya.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 12:29pm
d