rap

Penglihatan Nazrul Rabbani makin kabur

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun meluangkan masa melawat rakan seperjuangannya yang juga anggota Rabbani, Nazrul Azhar Tamrin yang kini dirawat di Hospital Selayang akibat masalah buah pinggang dan paru-parunya dikhuatiri dijangkiti kuman, semalam.

Hafiz ketika dihubungi berkongsi mengenai keadaan terkini Nazrul yang menurutnya, cuba untuk melayan semua yang melawatnya walaupun daya penglihatannya kini kian kabur.

“Penglihatannya semakin kabur dan apabila saya sampai, saya kena perkenalkan diri kerana dia tak nampak wajah saya. Apabila berbual, dia menangis dan meminta maaf sebab tak dapat cam wajah saya.

“Walaupun sedang demam, dia cuba sedaya upaya untuk melayan semua pelawat yang datang. Tapi, saya pun tak bertanya banyak soalan kerana tahu keadaan dia sekarang,” katanya kepada Harian Metro.

Bercerita mengenai pengalamannya mengenali Nazrul, Hafiz berkata, dia banyak bekerjasama dengan Nazrul.

“Dalam Rabbani, Nazrul adalah pemain perkusi dan banyak memegang tanggungjawab dari sudut teknikal seperti sistem bunyi dan sebagainya.

“Jadi, ada beberapa acara yang menggunakan khidmat sistem bunyi daripada Rabbani, saya akan bekerjasama dengannya. Walaupun tidak terlalu rapat, tapi kami memang saling mengenali dan pernah bekerja bersama,” katanya.

Hafiz juga memohon kepada sesiapa yang ingin melawat mereka yang ditimpa musibah supaya sentiasa berfikir mengenai soalan yang sesuai untuk ditanyakan.

“Apabila melawat orang sakit, kita perlu susun atur kata-kata kerana tak mahu menyentuh perkara-perkara sensitif. Kalau boleh, kita melawat untuk mendoakan kesejahteraan kesihatan orang.

“Sekarang, ramai sangat yang mengambil kesempatan daripada situasi orang lain yang ditimpa bencana. Ada yang datang untuk menularkan keadaan dan ambil peluang untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.

Nazrul dikejarkan ke hospital selepas suhu badannya meningkat ketika menjalankan rawatan dialisis beberapa hari lalu, sekali gus membuatkan penglihatannya semakin kabur.

Disiarkan pada: February 28, 2020 @ 7:33pm
d