rap

Filem terakhir Abam ditangisi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENERBIT filem Jodoh Syaitan, Da Motion Sdn Bhd menyampaikan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Abam Bocey berikutan pemergian pelawak popular itu baru-baru ini.

Sumbangan berupa wang tunai disampaikan penerbit, Datin Norliza Samion dan Prof Datuk Dr Azman Ching kepada ibu Allahyarham, Sabariah Arshad di malam gala tayangan filem berkenaan, malam tadi.

Filem Jodoh Syaitan juga adalah filem terakhir lakonan Abam sebelum dia meninggal dunia 10 Februari lalu.

Sabariah ketika ditemui meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya kepada Norliza dan Azman atas sumbangan yang diberikan.

"Terima kasih kepada pihak produksi atas sumbangan ini. Walaupun arwah sudah tiada, dia masih diingati dan dihargai," katanya kepada Harian Metro.

Sabariah juga tidak dapat menahan air matanya sepanjang tayangan dan berkongsi perasaannya melihat lakonan terakhir anaknya itu.

"Saya rasa seperti dia ada di sebelah saya. Rasa seperti ada dekat dengan saya. Walaupun dia sudah tidak ada, karyanya masih ada. Saya harap, orang ramai dapat sokong dan tonton filem ini," katanya.

Norliza mewakili syarikatnya berkata, itu adalah sumbangan daripada seluruh produksi di atas pemergian Abam.

"Kami dari Da Motion Media berharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu keluarga arwah," katanya.

Selain Abam, seluruh produksi filem Jodoh Syaitan juga menangisi pemergian penerbitnya yang juga suami Norliza, Allahyarham Datuk Mokharul Shamsul Mokhtar.

Mokharul yang mesra disapa Datuk Are Sey turut berlakon dalam filem itu dan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada 24 Mei tahun lalu.

Selain Abam, filem arahan Ismail Bob Hashim ini turut dibintangi Soffi Jikan, Aprena Manrose, Jay Iswazir, Kamarul Yusoff dan Fauziah Nawi. Ia akan ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 5 Mac ini.

Disiarkan pada: February 29, 2020 @ 10:30am
d