rap

Selamat maju jaya Neelofa

Oleh HM Digital

Sudah lama Cik Pang mahu cerita mengenai perkara ini tapi asyik tiada masa nak tulis kerana banyak benda kena selesaikan.

Kisahnya mengenai beberapa selebriti yang Cik Pang lihat seolah-olah ada keinginan meniru cara fesyen pengacara popular, Neelofa.

Bagi Cik Pang, setiap artis perlu ada cara tersendiri untuk membawa imej mereka supaya masing-masing ada kekuatan dan kelebihan tersendiri.

Janganlah meniru fesyen atau gaya selebriti popular yang sudah kuat dalam industri seni kerana percayalah anda tidak akan ke mana.

Malah ramai yang akan membandingkan dan memburukkan diri anda kerana dikatakan meniru.

Namun ambillah setiap kejayaan Neelofa sebagai titik permulaan untuk anda berjaya dalam hidup sepertinya.

Di kesempatan ini juga Cik Pang nak ucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Neelofa yang akan mengembangkan karier seninya di Indonesia.

Dengarnya dia sudah mengupah guru bahasa dari negara jiran itu untuk mengajarnya secara intensif bagi menguasainya.

Baguslah apa yang dilakukan Neelofa itu. Kalau nak berjaya di tempat orang kenalah ikut budaya dan bahasa mereka kerana lebih dekat dengan jiwa mereka. Tapi janganlah sesekali kita melupakan asal usul kita.

Cik Pang juga difahamkan Neelofa bakal membintangi sebuah filem Indonesia di sana. Harap semuanya berjalan lancar dan berjaya.

Disiarkan pada: March 1, 2020 @ 10:05am
d