rap

Che Ta tak rela dimekap jadi tua

Oleh Georgie Joseph

PELAKON Rozita Che Wan atau Che Ta menegaskan dia tidak akan menerima sebarang tawaran watak yang menuntut wajahnya disolek kelihatan tua.

Che Ta, 46, berkata watak tua patut diberikan kepada pelakon yang sesuai dan terutama artis veteran.

“Kenapa harus saya ambil watak yang memerlukan muka kena mekap jadi tua? Baik bagi saja kepada pelakon veteran yang ada.

“Kalau tidak, nanti pelakon veteran kita yang ada nak lakonkan watak apa? Bukan apa, bila saya ambil karakter yang kena mekap tua, kasihan pelakon veteran tak dapat tawaran pula,” katanya.

Bagaimanapun, pelakon drama Suri Katrina itu mengaku dia sebenarnya tidak kisah jika diberi watak nenek sekalipun asal tidak dimekap jadi tua.

“Saya okay saja untuk menjayakan karakter nenek. Lagipun itulah realitinya saya sekarang sudah ada anak-anak yang besar,” katanya.

Berkongsi mengenai watak terbarunya memegang karakter opah dalam drama Family Spy, dia mengambil tawaran itu disebabkan bersesuaian dengan umurnya juga.

“Saya faham watak berkenaan menuntut saya menjadi karakter yang pandai bertarung. Lagipun produksi mahukan saya jadi nenek yang berusia dalam lingkungan 40-an,” katanya.

Tahun lalu, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Hans Isaac mengumumkan pelakon muda dilarang mengenakan solekan watak orang tua mulai 1 Januari 2020.

Kenyataan dikeluarkan Hans berkenaan kemudian mendapat tentangan beberapa penggiat seni dan paling lantang bersuara adalah penerbit dan pengarah, Michael Ang.

Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 6:46pm
d