rap

Alif Satar tulis wasiat

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI, pelakon dan pengacara popular Alif Satar, 29, mengakui sudah menulis wasiat kerana bimbang ia tidak sempat dilakukan sekiranya dia meninggal dunia.

Alif berkata, kesedaran merancang harta yang ditinggalkan kepada ahli keluarga adalah sangat penting.

“Orang semua cakap nak buat simpanan, tapi kita harus memiliki wasiat. Saya tidak berapa pandai bab ini, tapi kita patut tahu.

“Saya tahu topik ini banyak memberi kesedaran kepada semua mengenai apa yang berlaku kebelakangan ini. Berat dia sama seperti memiliki insuran juga. Saya memang sudah merancang wasiat sejak menimang anak pertama dulu,” katanya.

Semakin ramai individu terutama lelaki yang meninggal dunia secara mengejut akibat serangan jantung sejak akhir-akhir ini turut mendorong Alif mengambil tindakan itu.

Dia turut bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) untuk memberi kesedaran pentingnya menjaga jantung.

“Baru-baru ini, banyak kes serangan jantung berlaku dan rata-ratanya lelaki. Maka, saya pun jalin kerjasama dengan IJN menerusi sebuah kempen yang akan ditayangkan menerusi saluran YouTube peribadi saya.

“Kerjasama menerusi kempen dinamakan VO2 Max itu adalah untuk mendidik mengenai penjagaan jantung yang bertindak sebagai ‘enjin’ paling penting dalam badan kita,” katanya.

Alif berkata, dia berharap kempen itu akan membuka mata ramai dan menyarankan semua untuk membuat pemeriksaan berkenaan kesihatan jantung.

“Saya juga menjalankan pemeriksaan menyeluruh baru-baru ini membabitkan ujian air kencing, darah, dan imbasan badan secara berdiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 3, 2020 @ 2:52pm
d