rap

Adik Yana Samsudin meninggal dunia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ADIK lelaki pelakon Yana Samsudin iaitu Muhammad Fahmi Harith, 30, meninggal dunia dalam tidur di rumahnya, petang semalam.

Lebih memilukan, Fahmi meninggal dunia selepas 37 hari bergelar bapa kepada anak sulungnya, Fattah.

Yana yang berkongsi berita sedih itu di Instagram semalam turut memaklumkan balu Fahmi, Farhana Khalid kini menjalani tempoh berpantang di Sarawak.

Menurut Yana, Fahmi adalah satu-satunya lelaki dalam adik-beradik mereka.

"Aku kehilangan adik aku. Ya Allah, macam mana nak ada kekuatan diri ini. Satu-satunya lelaki dalam adik beradik, baru jadi ayah 37 hari," tulisnya di Instagram.

Yana turut memaklumkan Allahyarham seorang yang sentiasa memudahkan urusan ramai orang ketika hayatnya.

"Kau pergi tanpa kata apa-apa kepada kami. Nana (isteri arwah) masih berpantang di Sarawak. Kau pergi tinggalkan dunia ini seorang diri diri rumah. Semoga Allah ampunkan segala dosa dan permudahkan urusan di akhirat kelak. Amin," tulisnya.

Jenazah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang sebelum ke kampung halamannya di Taman Kota Impian, Yong Peng, Johor.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam River Estet, Masjid Besar Yong Peng, hari ini.

Disiarkan pada: March 4, 2020 @ 12:05pm
d