rap

'Komunikasi pasangan penting' - Mawar Karim

Oleh Sudirman Mohd Tahir

USAHAWAN yang juga bekas isteri, Fizo Omar iaitu Mawar Abdul Karim mengakui komunikasi dengan pasangan penting dalam rumah tangga.

Mawar, 31, berkata, perceraian dengan Fizo pada Julai tahun lalu mengajar dirinya banyak perkara selain dapat bermuhasabah diri.

“Banyak perkara yang saya dapat belajar selepas bercerai. Antaranya, komunikasi jangan ‘lost’ selain kena muhasabah diri.

“Kalau ada masalah jangan terlalu simpan, tapi bawa berbincang. Paling penting, jangan biarkan masalah berlarutan dalam tempoh lama. Apa pun kena berterus terang,” katanya kepada Harian Metro.

Mawar berkata, tidak menjadi satu kesalahan untuk membawa bersama ibu atau mentua tinggal bersama.

“Tidak ada masalah nak tinggal bersama, tapi kena pandai rancang. Saya tabik Fizo sebab tak pernah jumpa lelaki yang menjaga mak dan keluarganya sehebat itu.

“Dia memang anak, adik dan abang yang sangat sempurna. Sebab itu saya tabik dia,” katanya.

Ditanya kemungkinan dia dan Fizo kembali bersama, Mawar tidak terfikir ke arah itu.

“Saya tak pernah terfikir lagi perkara ini. Sebab perkara ini masih macam ‘blur’ tak habis lagi sebab berlaku sekelip mata.

“Tapi, sekiranya Fizo sudah ada pengganti saya doakan yang terbaik buat dia. Pesan saya, jangan lupa jaga hati pasangan. Apa pun, komunikasi jangan ‘lost’. Masing-masing kena jaga. Kalau tak, semuanya habis sebab masing-masing ada pro dan kontra,” katanya.

Berkongsi mengenai perkembangan dirinya, fokus Mawar kini lebih tertumpu kepada bisnes diusahakan selain menjaga anak tunggalnya, Wan Maryam Wan Hafizol yang bakal menginjak usia tiga tahun Disember depan.

“Saya teruskan kehidupan seperti biasa sebagai ibu tunggal. Pada masa sama, saya kini lebih fokus pada perniagaan dan anak yang masih lagi kecil.

“Kiranya, keutamaan kepada dua perkara itu,” katanya.

Fizo dan Mawar mendirikan rumah tangga pada November 2013, sebelum sah bercerai dengan talak satu pada 10 Julai tahun lalu.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 12:34pm
d