rap

'Saya tak mahu ditindas lagi' - Haqiem

Oleh Georgie Joseph

PENYANYI Haqiem Rusli, 22, enggan dirinya ditindas lagi dalam industri muzik selepas insiden kisahnya dijadikan bahan jenaka artis lain baru-baru ini.

Haqiem atau nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli berkata dia mahu menekankan intipati lagu yang membawa mesej positif termasuklah dalam lagu terbaru berjudul Bangkit.

“Lagu ini berkenaan orang lemah yang ditindas, dipermalukan di khalayak ramai, dan sebagainya. Malah, saya anggap lagu Bangkit yang dilancarkan baru-baru ini pun keluar tepat pada waktu.

“Saya mahu tunjukkan bahawa kita sesama manusia tidak patut menjatuhkan orang lain atau memalukan artis itu sendiri. Nak kata ada kaitan dengan insiden yang menimpa saya baru-baru ini, kalau terasa, silakan.

“Saya juga ingin menampakkan intipati lagu saya semakin meningkat. Bagi saya, kalau kita lebihkan lagu mengenai isu masyarakat, ia boleh memberi manfaat dan itu lebih penting,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, penyanyi lagu Tergantung Sepi itu mengaku dia terganggu dengan gimik persembahan kumpulan Drama Band yang seakan memerli dirinya pada Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) lalu.

Dalam persembahan itu, kumpulan terbabit mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menyindir beberapa individu termasuklah Haqiem yang pernah berdepan masalah kemurungan sederhana pada 2018.

Menurut Haqiem, dia sedikit terkesan di belakang pentas sewaktu menantikan gilirannya untuk membuat persembahan menerusi lagu Lembah Kesepian.

Disiarkan pada: March 5, 2020 @ 7:16pm
d