rap

'Mama tak dapat cium dahi Alif lagi'

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Nora Ariffin menziarahi pusara anak keduanya, Allahyarham Alif Johan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 hari ini.

Nora menerusi akaun Instagram miliknya meluahkan rasa rindu terhadap anak tercintanya dan hanya mampu mengirimkan doa.

"Selamat hari lahir yang ke-21 buat anakku, Alif Johan. Hanya doa yang mampu mama berikan.

"Maaf mama tak dapat cium dahi Alif lagi. Moga tenang tenang di sana bersama papa. InsyaAllah kita akan bertemu lagi.

"Mama rindu Alif sebagai anak, teman borak, tengok wayang dan lain-lain," tulisnya.

Pada 14 Disember lalu, anak kedua Nora iaitu Muhammad Syakir Alif Johan meninggal dunia secara mengejut apabila tiba-tiba rebah ketika berada di kediaman mereka.

Sebelum itu, pelantun lagu Di Persimpangan Dilema itu kehilangan suaminya, Johan Nawawi yang juga komposer ternama pada 24 Mac 2017.

Sementara itu, Nora turut memuat naik gambar di pusara arwah suaminya dengan menyatakan dia berasa syukur ke hadrat Ilahi apabila diberi kekuatan untuk teruskan hidup meski apa yang dilalui bukan mudah.

"Abang hari ini hari lahir anak kedua kita, Alif Johan tak sempat sambut 21 tahun hari ini. Alif juga sudah pergi meninggalkan kami. Anak-anak lain, Alhamdulillah semuanya baik-baik belaka.

"Syukur pada Allah, dengan kekuatan yang diberi, sokongan anak-anak, walau payah perlahan-lahan saya cuba melangkah selagi terdaya menyara hidup dab memberi kebahagiaan untuk anak-anak kita.

"Kami terlalu merindui Abang. Insha-Allah kita semua dapat bertemu lagi di Jannah," tulisnya.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 5:05pm
d