rap

Maafkan kami ya penyokong Liverpool...

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT drama Jujurlah Nikahi Aku, Arie Zaharie tampil membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung isu membabitkan babak mengelap air kencing menggunakan jersi kelab bola sepak Liverpool.

Arie mengakui terkilan atas kesilapan dibuat pihaknya selain menyifatkan tidak berniat untuk memburukkan nama baik pasukan itu.

"Saya mewakili pihak produksi Arie Zaharie Production dengan rasa rendah diri ingin memohon maaf di atas salah satu babak dalam drama Jujurlah Nikahi Aku yang membabitkan pelakon kami mengoyakkan dan memijak baju jersi kelab Liverpool.

"Saya dengan rasa terkilan atas kesilapan dalam babak itu, sesungguhnya tiada niat untuk memburukkan nama baik kelab Liverpool.

"Saya menyusun sepuluh jari memohon maaf kepada semua peminat Liverpool dari seluruh Malaysia dan berharap agar peminat Liverpool berlapang dada untuk memaafkan kesalahan saya,” katanya.

Menerusi kenyataan sama yang dimuat naik di Twitter, Arie berjanji untuk tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

"Dengan rasa hormat dan rendah diri saya kepada peminat kelab Liverpool di seluruh Malaysia, dengan ini saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan di atas pada masa akan datang dan memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, babak pelakon, Uyaina Arshad mengelap air kencing menggunakan jersi kelab itu tular di laman sosial hingga membangkitkan rasa kurang senang dan amarah peminat kelab Inggeris itu.

Susulan babak itu juga, seorang individu fanatik membuat laporan di laman web rasmi pasukan Liverpool menuntut pasukan Liga Perdana Inggeris itu mengambil tindakan ke atas produksi drama berkenaan.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 5:39pm
d