rap

'Tiada niat hina penduduk setinggan dan PPRT' - Syifa Melvin

Oleh Najiy Jefri

BELUM reda kontroversi membabitkan hubungan dengan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Safawi Rasid, terbaharu pelakon Syifa Melvin teruk dikecam netizen apabila dikatakan menghina penduduk setinggan dan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Enggan terus mengeruhkan keadaan, Syifa tampil memohon maaf dan menyifatkan berlaku salah faham berdasarkan video yang sengaja ditularkan.

Syifa berkata, dia tiada niat untuk menghina mana-mana pihak.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang sudah menonton video yang tular mengenai saya.

"Saya sedar kalau saya jelaskan perkara ini tetap orang tidak akan terima kerana ramai yang sedang marah.

"Namun, jika dilihat semula video terbabit saya bukan gelak sebab menghina orang miskin atau penghuni PPRT, tapi sejujurnya niat saya adalah sesiapa saja yang memakai material dan warna turban itu akan nampak mahal. Maksudnya, di mana saja anda berada kalau pakai turban itu tetap memberikan keyakinan diri.

"Takkanlah saya tergamak nak menghina atau mengutuk orang tidak berkemampuan. Saya pun bukan orang kaya. Kalau kaya tak wujud bisnes nak menolong orang," katanya.

Menurut Syifa, dia terpaksa tampil untuk mencerahkan perkara ini kerana menerima kecaman teruk.

"Sebenarnya saya tidak mahu mengulas perkara ini tapi apabila terlalu banyak kecaman sampai orang salah sangka dan timbul fitnah, saya perlu tampil dan memberi pencerahan.

"Kepada individu yang mengeluarkan semula video ini saya berharap anda berhenti tabur fitnah kerana tahap pemahanan orang berbeza-beza.

"Sekali lagi saya ingin memohon maaf dan jauh daripada sudut hati saya tiada niat langsung nak menghina sesiapa," katanya.

Terdahulu nama Syifa kembali panas apabila tular sebuah video yang mengatakan penampilan seseorang individu akan nampak mahal apabila memakai turban seperti yang digayakannya walaupun tinggal di rumah setinggan dan PPRT.

Video yang memperlihatkan dia bersama seorang jurusolek sedang membuat tutorial memakai turban mengundang kecaman netizen di laman sosial.

Rata-rata netizen bengang dengan kenyataan adik kepada pelakon Syatilla Melvin itu yang dianggap seakan-akan menghina golongan susah.

Disiarkan pada: March 7, 2020 @ 6:13pm
d