rap

Jaminan Floor 88 pada 'protege' mereka, Fariq

Oleh Norhayati Nordin

KUMPULAN Floor 88 memberi jaminan tidak akan mensia-siakan bakat ‘protege’ mereka dikenali Fariq yang juga pemenang pencarian #2ndvokalisfloor88.

Pencarian #2ndvokalisfloor88 itu dibuat pada Januari lalu selepas Ayie disahkan mengalami masalah vokal koyak dan perlukan rehat yang cukup.

Ayie dihubungi berkata bakat nyanyian Fariq tidak akan disia-sia dan pemuda itu berpeluang muncul dengan lagu solo pertamanya hasil ciptaan Floor 88.

“Fariq bukan pengganti saya tetapi dia adalah ‘peneman’ di pentas sekiranya saya kurang sihat dan perlukan rehat. Malah, saya pun takkan meninggalkan Floor 88.

“Cuma, salah faham sebelum ini yang mendakwa dia pengganti saya. Apapun, Fariq sudah diperjelaskan mengenai situasi yang sebenar,” katanya.

Mengulas mengenai bakat nyanyian Fariq, ujar Ayie, lenggok vokal pemuda itu tidak jauh beza daripadanya. Jadi, Fariq boleh menyanyikan lagu Floor 88 dengan baik.

Pada Januari lalu, Ayie tiba-tiba rebah ketika menjayakan persembahan dalam Konsert Gempak NEGERI fm di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Malah, doktor menasihatkan Ayie berehat beberapa minggu berikutan masalah vokal dialami. Berikutan Floor 88 ketika ini mendapat banyak tawaran menyanyi, maka perancangan lain perlu dibuat.

Menerusi Instagram kumpulan, Floor 88 mengumumkan pencarian #2ndvokalisfloor88 dan penyertaan diterima sangat menggalakkan.

Sehubungan itu, melihat pada pengalaman Fariq sehigga kini dia sudah menyertai beberapa program pencarian bakat menyanyi seperti I Can See Your Voice Malaysia dan Mentor Milenia 2019 .

Disiarkan pada: March 9, 2020 @ 3:44pm
d