rap

Karya enam bulan sekali

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI rap, Fariz Jabba mengakui pernah hidup dalam kesusahan apabila tiada duit hingga terpaksa alas perut dengan mi segera sebelum berjaya seperti hari ini.

Menurut Fariz yang kini berada di bawah label Def Jam South East Asia, dia menceritakan kisah hidupnya itu menerusi lagu ‘Ape Sia’.

“Waktu itu hidup saya sangat susah dan apa dilalui itu tidak dijadikan cabaran. Sebaliknya, saya mula mencari idea hasilkan lagu dan lirik sedih, hiba, mendayu, meruntun perasaan dan meminta simpati orang.

“Apapun, hidup ini bukan untuk bersedih. Saya takkan bersedih dan merintih, tetapi terus berusaha untuk gembira, selalu bersama keluarga dan rakan kerana mereka sumber kekuatan. Pergi taman tengok bunga dan lihat alam sekeliling, kita kena sayangkan diri sendiri.

“Dengan kejayaan sekarang, setiap hari saya berdoa dan bersyukur kepada Allah SWT, tidak pernah lupakan keluarga terutama ibu dan rakan yang tak jemu menyokong sejak dulu.

“Tanpa ibu, tiada saya. Keyakinan buat lagu serta menjadi penyanyi adalah dorongan daripada ibu tersayang,” katanya.

Kehadiran Fariz Jabba mula disedari peminat muzik di Malaysia selepas Joe Flizzow memuat naik videonya di saluran Youtube, 16 Baris.

“Saya buat lagu, tulis lirik dan hasilkan video sendiri lalu dimuat naik dalam You Tube dan Instagram (IG) saya.

“Joe Flizzow ternampak video itu dan dia muat naik pula dalam You Tube 16 Baris dan selepas itu saya mula diundang membuat persembahan nyanyian,” katanya.

Lebih menarik, menerusi dua lagu hit yang berjudul Masa dan Ape Sia, Fariz meraih sejuta tontonan di You Tube, sekali gus menjadi bakat baru yang bakal menarik perhatian ramai.

“Saya dapat rasakan penonton tertunggu-tunggu bila lagu baru nak dikeluarkan. Jadi, terakam lagu Ape Sia, diikuti lagu Masa,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fariz bercadang mahu melancarkan lagu baru sekitar enam bulan sekali kerana dia cepat jemu.

“Saya perlu hasilkan lagu baru dengan pelbagai genre dan tidak hanya ‘terperangkap’ dengan muzik hip hop dan R&B. Saya cuba meluaskan pengaruh muzik berpaksi irama balada termasuk tekno, dalam bahasa Cina dan Tamil selain bahasa Melayu serta Inggeris.

“Jika anda perhatikan, gaya baju saya juga berubah-ubah. Penampilan saya dalam Ape Sia, Masa dan IG, semua lain sebab saya suka tukar-tukar. Saya bukan hanya rapper, tetapi saya adalah artis dan penghibur. Kalau anda sukakan ‘seni’, ikut saya,” katanya.

Menyorot lebih jauh perjalanan seninya, Fariz mengakui sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana penyanyi asalkan ada keserasian.

Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 6:20am
d