rap

Dr Zulkifli pilihan tepat

Oleh Norhayati Nordin

PEMILIHAN Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) diterima baik pada kalangan penceramah bebas yang juga dikenali ‘ustaz selebriti’.

Bagi Pencetus Ummah (PU) Yeop, dia menyifatkan pemilihan dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah tepat dan sesuai pada masanya.

“Walaupun terkejut pada mulanya dengan pengumuman dibuat, tetapi saya sangat bersyukur kerana berasakan pemilihan Dr Zulkifli sangat tepat.

“Pada pandangan saya, apabila menteri bahagian agama ditempatkan individu yang pakar seperti mufti, ia adalah keputusan yang betul.

“Ini kerana, bila sebut mufti secara tidak langsung masyarakat Islam di negara ini sedia maklum bahawa individu berkenaan memang pakar dalam bidang agama,” katanya.

PU Yeop atau nama sebenar Mohd Zainudin Mohamed Zaini, 39, berkata apa yang diharapkan semoga isu membabitkan agama Islam dapat ditangani sebaik-baiknya selepas ini.

Ujarnya lagi, dia mengucapkan tahniah kepada Dr Zulkifli di atas pemilihan itu dan menjadi mufti pertama di negara ini dilantik sebagai menteri.

Sementara itu, Imam Muda Hassan, 35, pula berkata dia juga bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan pemilihan Dr Zulkifli sebagai salah seorang jemaah menteri.

“Kegembiraan dan rasa syukur ini tak mampu diungkap dengan kata-kata kerana saya yakin Allah adalah perancang yang terbaik buat hamba-Nya.

“Saya melihat pemilihan Dr Zulkifli sebagai satu hikmah buat masyarakat Islam di negara ini. Semoga agama Islam yang menjadi agama rasmi negara ini terus terpelihara.

“Selain itu, saya juga sangat kagum dengan kewibawaan, kepimpinan dan keprihatinan Dr Zulkifli ketika menjawab isu berkaitan Islam di media sosial.

“Beliau cepat bertindak memberi maklum balas berkaitan sesuatu isu membabitkan agama yang muncul sebelum ini. Tahniah diucapkan,” katanya.

Hassan atau nama sebenar Mohd Hassan Adli Yahaya@ Yahuza berkata dia terharu dengan pemilihan Dr Zulkifli dan akan terus memberi sokongan demi agama, bangsa dan kesejahteraan agama.

Dr Zulkifli adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah, Ijazah Sarjana Syariah daripada Universiti Ulum al-Islamiyyah wa al-Arabiyyah, Syria dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang pengkhususan pengeluaran Fatwa.

Dr Zulkifli yang dilantik sebagai Mufti Wilayah Persekutuan pada Jun 2014 sehingga kini, adalah antara enam senator baharu yang mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini.

  • Lagi berita berkaitan Kabinet baharu
  • Barisan Kabinet baharu
  • Disiarkan pada: March 10, 2020 @ 10:17pm
    d