rap

Tak diam tapi selektif

Oleh Norhayati Nordin

KALAU diukur dari segi populariti, ternyata Xpose Band agak jauh ketinggalan dengan kumpulan Floor 88 yang dilihat terus maju.

Namun, Xpose Band tidak pernah menyepi daripada terus berkarya meskipun dari aspek publisiti agak kurang mendapat perhatian.

Hampir tiga tahun aktif dalam muzik, Xpose Band tampil dengan beberapa lagu seperti Sandiwara yang mempopularkan mereka seketika, diikuti Maafkan Ku dan Deru (duet bersama W.A.R.I.S).

Bagi tahun ini, Xpose Band yang dianggotai Eppy selaku pemain gitar, Furhan (vokalis), Zaim (keyboard) dan Taqim (dram) akan tampil dengan lagu baru berjudul Menanti Pasti.

Mengulas mengenainya, Furhan berkata, Xpose Band lebih memilih pendekatan berhati-hati. Justeru, mereka tidak terburu-buru untuk muncul dengan lagu baru.

“Apapun selepas membuat perbincangan dan mencapai kata sepakat, kami melancarkan lagu Menanti Pasti sebagai buah tangan terkini Xpose Band.

“Malah, lagu Menanti Pasti ciptaan Eppy yang diharapkan menarik perhatian pendengar terutama peminat muzik kumpulan kami,” katanya.

Ditanya mengenai muat naik di YouTube seperti lirik video, Furhan berkata, ia belum dibuat lagi. Cuma, setakat ini lagu Menanti Pasti boleh didengari melalui platform penstriman.

Mengulas juga pembikinan muzik video, Furhan berkata, Xpose Band masih dalam perbincangan dan berharap boleh disiapkan sebelum Ramadan.

Bagi perancangan kerjaya nyanyian Xpose Band seterusnya, Furhan berkongsi mereka baru saja menyiapkan lagu untuk sambutan Aidilfitri ciptaan Eppy dan Taqim.

“Untuk lagu raya ini, saya juga mendapat peluang menulis liriknya bersama Taqim. Sekali lagi, diharapkan lagu raya dihasilkan ini akan diminati ramai,” katanya.

Masih bernaung dengan syarikat rakaman SRC, tahun lalu Furhan tebang ke Indonesia bagi rakaman semula secara duet lagu Samar Bayangan bersama penyanyi Nicky Astria.

Gembira dapat bekerjasama dengan penghibur terkenal Indonesia itu, Furhan berkata, dia banyak menimba ilmu dan pengalaman yang dianggapnya sangat berguna untuk memantapkan nyanyian.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:20am
d