rap

Suami pengkritik utama

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ORANG terdekat dengan kita selalunya akan menjadi pengkritik utama dalam membantu memperbaiki kelemahan diri yang boleh diperbaiki.

Hakikat itu tidak dinafikan pelakon dan pengacara, Che Puan Syamim Farid yang kini melangkah ke tahun keempat usia kariernya sebagai anak seni.

Menurutnya, suaminya, Tengku Ezrique Ezzuddean Tengku Datuk Ardy Esfandiari Al-Haj adalah penonton dan pengkritik nombor satu untuk kerjaya seninya.

“Tahun ini, dah masuk tahun keempat saya bergelar pelakon. Suami adalah penonton nombor satu dan pengkritik utama kepada lakonan saya. Apa juga karakter yang saya lakonkan, dia akan tonton dan berikan pendapatnya,” katanya.

Menurut Syamim, dia bersyukur kerana suaminya memberikan kepercayaan dan sentiasa menyokong minatnya untuk terus beraksi di hadapan kamera.

“Dia okay dan tak ada masalah pun untuk saya bekerja sebagai pelakon. Cuma, saya saja yang kadangkala ada rasa bersalah kerana terpaksa habiskan banyak waktu di set penggambaran,” katanya.

Bercerita mengenai statusnya sebagai isteri, Syamim mengakui sentiasa menitikberatkan batasan dalam pergaulan dan penerimaan karakter yang ditawarkan.

“Kalau karakter yang ditawarkan terlampau ‘berani’, saya tak boleh terima juga. Ada sekali, saya ditawarkan untuk melakonkan karakter sebagai perempuan simpanan dan saya terpaksa tolak kerana ia kurang sesuai.

“Untuk karakter sebegitu, tentunya akan ada babak yang intim dan kurang bersesuaian. Jadi, saya cuba elakkan. Saya juga jenis yang tidak selesa berpakaian terlalu seksi,” katanya.

Walaupun memegang status sebagai isteri kepada kerabat diraja, Syamim tidak pernah bertegas dalam menggunakan gelaran ‘Che Puan’.

“Saya tak kisah sangat pun sebab tak semua orang tahu. Kalau di set penggambaran, ada yang tak tahu pun mengenai latar belakang saya dan suami, jadi tak ada masalah pun kalau orang tak panggil saya Che Puan.

“Kalau orang panggil Che Puan pun, saya tak ada masalah sebab kalau di rumah pun, memang itu nama panggilan yang dipanggil. Apa pun, saya selesa jadi diri saya seperti mana sebelum saya menyertai Pencarian Dewi Remaja satu ketika dahulu,” katanya.

Terbaharu, Syamim masih bercuti selepas menjalani penggambaran panjang untuk drama bersiri Dua Takdir Cinta.

“Sekarang, drama bersiri Dua Takdir Cinta masih lagi ditayangkan. Ia adalah drama

bersiri panjang dengan 65 episod dan proses penggambarannya saja memakan masa lima bulan.

“Jadi, sekarang saya bercuti dan banyak habiskan masa bersama suami dan memenuhi undangan ke beberapa acara. Selain berlakon, saya juga aktif bekerja sebagai pengacara untuk RTM,” katanya.

Selain Syamim, drama bersiri itu turut dibintangi Fasha Sandha, Azar Azmi, Fendy Bakry, Zamarul

Hisham, Faizal Hussein dan ramai lagi.

Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 6:30am
d