rap

'Reunion' tanpa Reymee

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KEHILANGAN Innuendo daripada persada seni selama 28 tahun amat dirasai peminat. Apatah lagi, sepanjang tempoh itu, tiada kumpulan vokal berharmoni lain yang tampil mengisi kekosongan yang ditinggalkan mereka.

Justeru satu langkah yang positif apabila Shamsul Azhar Nazeer (Sam), Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir (Taj) dan Saiful Amir Abdul Wahab (Pot) kembali membuat ‘comeback’ dalam industri hiburan menerusi konsert Innuendo The Return yang berlangsung di Istana Budaya pada 10 April depan.

Menariknya, konsert kumpulan R&B popular yang menjadi kegilaan peminat sekitar 90-an ini, turut menampilkan pemuzik legenda, Michael Veerapan sebagai pengarah muzik beserta 12 pemuzik pengiring.

Innuendo yang ditubuhkan sekitar 1992, meniti populariti menerusi lagu Belaian Jiwa, Gemawan, Ratu Hati dan Selamanya.

Pot berkata, mereka kini sedia untuk aktif semula selepas lebih sedekad membawa haluan sendiri.

“Kami melihat tiada kumpulan lain yang mampu menyanyi secara harmoni dengan baik berbanding zaman kami dulu.

“Jadi apa yang dilakukan bertujuan mahu mengembalikan kegemilangan kumpulan vokal berharmoni seperti dilakukan kami dahulu,” katanya.

Menurutnya lagi, idea untuk kembali bergabung ini tercetus sekitar Februari tahun lalu dan pertemuan itu sekali gus menjadi ‘reunion’ yang sangat bermakna selepas 10 tahun.

“Kami pernah menyanyikan lagu Yesterday (nyanyian Boyz II Men dan nyanyian asal The Beatles) secara acapella.

“Suatu hari, saya panggil semua ahli untuk duduk di tangga rumah saya. Untuk lagu acapella, apabila cukup elemen dan semua orang barulah jadi.

“Apabila Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studio, Datuk Ahmad Izham Omar (dulunya pengasas syarikat rakaman Positive Tone) sampai baru kami dapat selesaikan lagu ini. Itu detik kebangkitan kami untuk aktif semula,” katanya yang melakukan proses memujuk Sam dan Taj untuk usaha ini.

Bagaimanapun, Innuendo perlu menerima hakikat ‘reunion’ ini tidak disertai seorang lagi anggota mereka iaitu Reymee Mohamed Hussein.

Pot berkata, usaha memujuk Reymee sudah dilakukan dan mereka perlu akur dengan pendiriannya yang tidak mahu menyanyi lagi.

“Kami puas memujuk Remy, tetapi dia tetap dengan pendirian untuk terus bersara kerana sibuk dengan perniagaan.

“Hampir setahun juga usaha ini dilakukan, tapi dia seorang yang fokus pada perniagaannya. Dia juga sudah berumah tangga dan perlu tumpukan perhatian terhadap keluarganya.

“Buat masa ini Innuendo tidak mempunyai perancangan untuk mencari pengganti. Tidak sampai nak buat proses uji bakat pencarian. Kalau ada, adalah kerana kami ‘just go with the flow’. Apapun konsert ini akan tetap diteruskan kami bertiga,” katanya.

Menurut Sam pula, konsert dengan durasi dua jam itu tidak boleh dilepaskan peminat setia Innuendo kerana mereka tampil dengan keistimewaan tersendiri.

“Sudah pasti kami akan melagukan ‘repertoire’ dari album Innuendo yang diminati ramai antaranya Selamanya, Belaian Jiwa dan banyak lagi.

“Kami menjangkakan sebanyak 26 lagu pelbagai genre bakal didendangkan khas buat peminat.

“Apa yang pasti, kami juga menjanjikan konsert ini bakal menjadi sebuah malam yang diingati semua yang hadir nanti,” katanya.

Sebagai bonus pada konsert mereka, Innuendo juga akan mendendangkan sebuah lagu istimewa yang dibuat (remake) semula iaitu Kau Ilhamku yang pernah dinyanyikan Man Bai.

Tikett untuk menonton Konsert Innuendo - The Return berharga RM695 (meet & greet), RM355 (diamond), RM255 (platinum) dan RM125 (gold) boleh dibeli menerusi laman web www.myticket.asia.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 6:00am
d