rap

Syukur dihujani tawaran berlakon

Oleh Najiy Jefri

NAIB juara Hero Remaja 2017, Farhan Asri meluahkan rasa syukur apabila tahun ini disifatkan sesuatu yang luar biasa buat dirinya.

Apa tidaknya, jejaka tingggi lampai itu dihujani tawaran berlakon dan terbaharu bakal membintangi drama bersiri adaptasi novel popular, Pink Smile untuk siaran TV3.

“Alhamdulillah, satu permulaan yang baik untuk kerjaya seni lakonan apabila mendapat peluang berlakon drama bersiri bersama barisan pelakon berbakat besar.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada syarikat produksi Creative Skill Solution Sdn Bhd kerana mempercayai bakat lakonan saya dan beri peluang terbabit sepanjang 20 episod drama ini bersiaran,” katanya.

Menurut Farhan, tidak hanya itu dia juga menerima beberapa tawaran berlakon daripada syarikat produksi berbeza dan mengharapkan namanya semakin dikenali tahun ini.

“Sebenarnya saya sudah lama mengimpikan untuk mempunyai nama yang kuat dalam bidang seni lakonan.

“Cuma, mungkin belum rezeki untuk umum lebih mengenali saya seperti beberapa finalis hero remaja yang lain.

“Bagaimanapun, saya menyimpan impian dan mengharapkan drama Pink Smile ini menjadi permulaan baharu untuk kerjaya seni saya,” katanya.

Biarpun aktif dalam bidang seni, dia tidak sesekali melupakan bidang pelajaran.

“Selain berlakon, saya juga pelajar sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Komunikasi Interpersonal.

“Selepas tamat diploma, saya menyambung pelajaran, tetapi secara separuh masa sahaja. Pelajaran amat penting jadi tak ada sebab untuk saya mengabaikannya,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2020 @ 6:15am
d