rap

Masih ada rindu

Oleh Norhayati Nordin

BIARPUN bapanya Allahyarham Saleem sudah tiada, namun penyanyi Syafiq Farhain, 26, masih tidak boleh lari daripada bayangan vokalis kumpulan Iklim itu.

Apatah lagi, kelunakan vokal Syafiq tidak jauh beza dengan arwah bapanya dan hingga kini masih lagi diminta penganjur persembahan menyanyikan lagu popular Iklim.

Mengulasnya, Syafiq berkata sebagai penyanyi dia tidak boleh menolak atau mengelak. Selalunya, dia akan menyanyikan saja lagu diminta.

“Arwah ayah pun tidak pernah melarang saya menyanyikan lagunya. Di antara kami, tidak pernah ada masalah kerana hubungan anak-beranak.

“Dulu, ketika arwah masih ada dia okey saja. Lagi pun, bukan saya yang suka-suka nak menyanyikan lagu arwah tetapi orang yang minta nyanyikan,” katanya.

Tidak berasa hati jika didakwa terus menumpang populariti arwah bapanya, Syafiq atau nama sebenar Nursyafiq Farhain A M Salim berkata, biarlah nak cakap apa.

Mengulas juga kerinduan terhadap arwah, Syafiq berkata perasaan rindu itu tetap ada. Bagaimanapun, perlu bijak mengawal di hadapan umum.

“Saya pernah tak mampu menahan tangis ketika menyanyikan lagu Suci Dalam Debu. Ketika itu, hanya Allah yang tahu perasaan saya.

“Sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Saya sedaya upaya cuba kuatkan semangat untuk menyanyikan lagu itu tetapi vokal tetap hilang,” katanya.

Kini muncul dengan lagu baharu berjudul Sakit Hati, Syafiq berkata, dia mengharapkan karya nyanyiannya itu akan mendapat sambutan baik pendengar.

“Saya cuma berharap ada rezeki untuk lagu Sakit Hati popular. Saya akan giatkan urusan promosi dan publisiti lagu ini sebaik mungkin.

“Walaupun perlu membahagi masa di antara kerjaya tetap sebagai anggota bomba dan penyanyi, saya akan cuba semampu yang boleh,” katanya.

Berbicara mengenai kerjaya lakonan, Syafiq berkata, dia minat juga berlakon dan pernah membintangi filem Hero: Jangan Bikin Panas pada tahun lalu.

“Selain menyanyi, saya sebenarnya ada juga mendapat tawaran berlakon. Tetapi, kesibukan kerja dan pelbagai aktiviti nyanyian, saya perlu menolak.

“Rasa rugi itu memang ada kerana lakonan adalah cabang seni yang lain. Namun, saya harus akur tidak mampu memberikan komitmen kerja.

“Saya tidak mahu bersikap tamak dan akhirnya akan menyusahkan pihak lain. Bagi saya, sekarang belum ada rezeki untuk aktif berlakon,” katanya.

Syafiq yang pada awal kemunculannya sebagai penyanyi pernah popular dengan lagu Sayang Maafkan Aku dan dinobatkan naib juara program Big Stage 2018.

Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 6:45am
d