rap

Percaya kemampuan diri

Oleh Georgie Joseph

KEMUNCULAN ramai bakat baru dalam bidang nyanyian rap sekarang, membuktikan genre itu semakin dekat dengan pencinta muzik tempatan. Apatah lagi, lagu hip hop kini semakin diiktiraf kualitinya berbanding sebelum ini.

Justeru, stesen ERA dengan kerjasama Universal Music Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan pencarian penyanyi hip hop menerusi RapStar ERA baru-baru ini. Yang pasti, sambutannya luar biasa apabila lebih 1,500 peserta mencuba nasib.

Pada persaingan akhir, peserta dari Kuala Lumpur iaitu Asyraf Nasir atau nama pentasnya AsyrfNsir dinobatkan juara menewaskan empat finalis lain iaitu Focussan, Nomad, Alfie dan Suayy G. Menurut pemuda itu, dia bersyukur usaha singkatnya membuahkan hasil.

“Kami dapat rentak lagu itu malam kelmarin dan hanya ada kurang dua hari untuk menguasai lagu berkenaan. Apa yang saya buat adalah cuma berseronok menyanyi di pentas.

“Bagi saya, paling penting adalah sentiasa kena letak elemen tersendiri dalam lagu. Ini disebabkan, semua finalis Top 5 dipilih memang ada gaya tersendiri dan semuanya kuat.

“Kalau ada masa lebih, mereka memang mampu menguasai lagu berkenaan dan buat lagi gempak. Tapi, saya percaya kepada kemampuan diri sendiri melakukan apa yang terbaik tanpa meniru identiti orang lain,” katanya.

Dengan kemenangan itu, Asyraf membawa pulang wang tunai RM2,000 dan berpeluang menghasilkan lagu bersama Def Jam Recordings dan Universal Music Malaysia. Manakala hadiah sagu hati berupa RM500 menjadi milik finalis lain.

Berkongsi lanjut mengenai pertandingan itu, Asyraf berkata, dia sangat gembira apabila dipertemukan semula dengan SonaOne yang juga idolanya. Paling penting dia menimba ilmu yang sangat berharga sepanjang dalam pertandingan berkenaan.

“Saya baru mula menyanyi lagu rap hampir tiga tahun lalu. Ia tercetus selepas saya berjumpa dengan seorang rakan di kedai mamak dan dia kemudian bercerita ada buat video ‘lip sync’ untuk satu pertandingan yang diadili SonaOne.

“Syukur, kami memenangi pertandingan itu dan kemudian rakan memaklumkan saya ada potensi untuk menulis lagu sendiri selain meramalkan mampu pergi jauh dalam bidang rap. Kemudian saya dipertemukan pula dengannya yang turut menjadi juri,” katanya.

Selepas berjumpa dengan ramai orang industri sepanjang pertandingan itu, Asyraf mengakui bukan mudah mahu menjadi penyanyi rap yang disanjung. Bagaimanapun, dia gembira akhirnya mendapat peluang keemasan itu.

“Sewaktu peringkat awal, setiap pusingan memberi ruang semua juri melontarkan komen sekali gus membuatkan kami berasa lebih rendah diri. Ketika itu, barulah sedar kami belum memberi yang terbaik meskipun yakin seratus peratus sudah berusaha.

“Disebabkan itu, kami tidak putus untuk memperbaiki diri daripada komen yang diterima. Fakta paling penting yang saya pelajari dalam pertandingan ini adalah kita tidak akan sentiasa menjadi yang terbaik,” katanya.

Selain SonaOne, pertandingan itu turut diadili Pengarah Urusan Universal Music Malaysia dan Singapura, Kenny Ong dan Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro, Nazri Noran.

Pada acara akhir yang dihoskan Haniff Hamzah itu, pentas persembahan turut dimeriahkan oleh penyanyi rap popular masa kini iaitu Kmy Kmo & Luca Sickta, Yung Raja, Fariz Jabba, Abu Bakar Xli, Dolla, Shalma Eliana serta Mukarakat.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:30am
d