rap

Aprena perlahankan karier seni

Oleh Syafil Syazwan Jefri

SETIAP pasangan yang mendirikan rumah tangga tentunya menyimpan impian untuk memiliki cahaya mata sendiri.

Bagi pelakon, Aprena Manrose, di usia perkahwinannya yang menjengah empat tahun membuatkan keinginan menjadi ibu semakin kuat.

Untuk itu, Aprena memaklumkan bakal memperlahankan kerjaya lakonannya untuk memberi tumpuan pada usaha mendapatkan zuriat.

“Sejak awal tahun azam saya adalah untuk memperlahankan karier seni demi mendapatkan cahaya mata pertama kerana sudah empat tahun berumah tangga.

“Sebelum ini, tak ada rezeki untuk saya dan suami nak anak. Jadi, mungkin selepas ini, kami perlu ada banyak masa bersama untuk berkeluarga,” katanya.

Tambah Aprena, dia dan suaminya, Mohd Afiq Hazman kini sudah menjalani pemeriksaan kesuburan di hospital sekitar Disember tahun lalu.

“Itu adalah kali pertama saya dan suami menjalani pemeriksaan kesuburan sepanjang tempoh perkahwinan kami. Selepas ini, akan ada fasa kedua untuk proses rawatan itu.

“Sekiranya usaha kami tak membuahkan hasil, saya dan suami bersikap terbuka untuk mencuba kaedah rawatan kesuburan in-vitro (IVF),” katanya.

Bercerita mengenai perancangannya untuk mendapatkan zuriat, Aprena berkata, dia banyak mendapat nasihat dan perkongsian daripada rakan selebriti.

“Antara rakan yang banyak berkongsi dengan saya adalah sepupu, pelakon Nelydia Senrose dan kak Siti Elizad. Itu yang membuatkan saya bertambah yakin dan ada semangat untuk melakukan rawatan IVF,” katanya.

Ditanya sama ada timbul sebarang tekanan buatnya dan suami berkaitan soal anak, Aprena menafikan itu. Katanya, mereka tidak terdesak.

“Kami tak langsung tertekan kerana hingga kini belum ada rezeki anak. Cuma, pada saya sendiri timbul perasaan yang terlalu kuat untuk memiliki anak dan kami berpeluang menjadi ibu bapa,” katanya.

Sehubungan itu, Aprena muncul mempertaruhkan dua filem lakonannya iaitu Jodoh Syaitan serta Bulan & Pria Terhebat di pawagam baru-baru ini. Malah, dia juga akan tampil dengan drama baru Wasiat Dari Jordan untuk RTM.

Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 6:47am
d