rap

Batal persembahan akur arahan

Oleh Syafil Syazwan Jefri

GOLONGAN selebriti adalah antara golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan yang dikeluarkan kerajaan selepas wabak Koronavirus (Covid-19) menular.

Kerana wabak pandemik ini, ada antara mereka yang terpaksa membatalkan persembahan, bahkan ada juga yang terpaksa membayar ganti rugi kepada pihak penganjur.

Bagi penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, dia sendiri terpaksa membatalkan 10 persembahan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

“Setakat ini, 10 persembahan saya terpaksa dibatalkan untuk mengelakkan berada di tempat awam. Saya berbincang dengan pihak pengurusan untuk mengambil keputusan ini bagi menjamin keselamatan bersama.

“Setakat ini, belum ada sebarang keputusan untuk meminda tarikh persembahan dan sebagainya,” katanya.

Naim menyahut seruan pihak kerajaan dalam memastikan penularan Covid-19 tidak menular dengan lebih parah dan menyeru masyarakat supaya akur kepada arahan ditetapkan.

“Apabila kerajaan keluarkan Perintah Kawalan Pergerakan, itu bukanlah untuk menyusahkan sesiapa sebaliknya untuk kebaikan setiap orang. Kita sebagai masyarakat perlu akur untuk memastikan penularannya tidak menjadi lebih parah,” katanya.

Sementara itu, penyanyi dan pelakon, Nabila Razali juga mengakui terpaksa membatalkan beberapa persembahan dan aktiviti seninya di dalam dan luar negara.

“Sepatutnya, dalam tempoh dua minggu ini saya ada dua persembahan di dua acara. Satu di acara ekspo di Singapura dan satu lagi adalah projek paling besar dalam karier seni saya di Jakarta.

“Namun, disebabkan penularan Covid-19, saya berbincang dengan pihak pengurusan untuk melepaskan persembahan itu dan membayar ganti rugi kepada pihak penganjur,” katanya.

Menurutnya, dia dan pihak pengurusan faham situasi yang berlaku dan bekerjasama memudahkan urusan orang lain.

“Keputusan untuk membatalkan persembahan dan tawaran di luar negara bukanlah satu keputusan yang mudah. Namun, di pihak kami, kita faham situasi yang berlaku dan tak mahu menyusahkan pihak penganjur.

“Jadi, dalam situasi sekarang, kita tak boleh menjadi terlalu pentingkan diri sendiri. Wang boleh dicari, tapi kesihatan tak boleh diganti,” katanya.

Penyanyi dan pelakon, Siti Nordiana juga berkongsi pendapat yang sama apabila memulangkan semula wang deposit untuk beberapa acara persembahan yang membabitkannya.

“Saya pulangkan semula wang deposit yang penganjur sudah bayar atas budi bicara saya dan pihak pengurusan. Ini bukan salah mereka kerana apa yang berlaku, di luar jangkaan semua.

“Untuk saya, ada tiga ke empat persembahan yang dibatalkan dan ada juga yang ditunda ke tarikh yang belum diputuskan. Sebagai artis, mungkin akan ada kesan dari sudut pendapatan.

“Namun, rezeki setiap orang itu sudah diatur oleh Allah dengan baik dan mujurlah ada beberapa persembahan sebelum ini yang cukup untuk membantu saya membayar keperluan bulanan,” katanya.

Tentunya ramai artis yang terkesan dengan apa yang berlaku hari ini. Namun, bagi memastikan kesihatan semua yang terbabit terjamin, tentunya keputusan terbaik adalah dengan menurut perintah dan saranan daripada pihak kerajaan.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 6:45am
d