rap

Rindu terlerai sebelum pergi

Oleh Adnan Ibrahim

“MINGGU lalu arwah menghubungi kami semua dan mahu berjumpa kerana terlalu rindu,” kata Haris Faizal Ruslee, 49, abang sulung Maya Matahari atau nama sebenar Myanaliza Ruslee,43, yang meninggal dunia akibat kanser Sarcoma, semalam.

Menurut Haris Faizal, kesihatan Maya merosot sejak November tahun lalu namun tidak mahu orang lain mengetahuinya kecuali adik beradik serta rakan rapat sahaja.

“Semalam, ketika kami adik beradik dan ibu mengunjunginya di Petaling Jaya, dia makan dengan berselera.

“Namun tiba-tiba arwah muntah beberapa kali dan sesak nafas menyebabkan kami bergegas membawanya ke hospital tetapi dia menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Setia Jaya di Machap dekat sini, hari ini.

Menurut Haris Faizal, Maya seorang yang bersemangat tinggi untuk sembuh sehingga sanggup ke China bagi mendapatkan rawatan.

Sementara itu, rakan seangkatan Maya, Acong Sweetchild berkata, dia sebenarnya kagum dengan semangat arwah yang terus berjuang untuk sembuh walaupun menyedari dirinya berhadapan dengan penyakit yang boleh membawa maut.

“Malah Maya juga bercita-cita untuk menubuhkan satu badan khas bagi memberikan semangat kepada penghidap penyakit kanser seperti ini supaya mampu berjuang melawan untuk sembuh.

“Ketika melawat arwah empat hari lalu, dia ada memberitahu saya bahawa penyakitnya sudah sembuh walaupun kami menyedari perubahan pada dirinya nampak ketara,” katanya.

Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 6:32pm
d